LOS ANGELES: Iran berharap kempen mereka pada Piala Dunia 2026 mampu menjadi simbol penyatuan rakyat negara itu ketika pasukan berkenaan berdepan pelbagai cabaran serta kontroversi menjelang aksi pembukaan Kumpulan G menentang New Zealand di Stadium SoFi, hari ini.
Persiapan skuad kendalian Amir Ghalenoei sebelum kejohanan tidak berjalan lancar apabila konflik ketenteraan yang melanda negara itu sebelum ini turut memberi kesan kepada perancangan pasukan.
Iran pada asalnya dijadual menjadikan Tucson, Arizona sebagai kem latihan sepanjang kejohanan, namun terpaksa berpindah ke Tijuana, Mexico pada saat akhir susulan ketegangan dengan Amerika Syarikat (AS) berhubung isu visa.
Situasi itu menjadi lebih rumit apabila beberapa anggota delegasi Iran dilaporkan gagal memperoleh visa untuk memasuki AS sepanjang saingan Piala Dunia kali ini.
“Kami berada di sini untuk mempamerkan perlawanan yang baik dan berkualiti tinggi, dan kami tidak memberi perhatian kepada sebarang gembar-gembur atau perkara yang berlaku di sekeliling kami.
“Secara semula jadi setiap pasukan mempunyai masalah masing-masing dan di banyak negara terdapat pelbagai perkara yang berlaku yang tidak ada kaitan dengan bola sepak,” kata Ghalenoei.
Malah, beberapa kumpulan diaspora Iran turut merancang mengadakan demonstrasi di luar stadium sebagai bantahan terhadap kerajaan negara itu, sekali gus menambahkan lagi tekanan menjelang sepak mula.
“Kami berada di sini untuk mewakili rakyat Iran yang dihormati sama ada mereka berada di dalam Iran atau komuniti diaspora Iran di seluruh dunia.
“Kami bukan orang politik dan bola sepak adalah sesuatu yang berasingan daripada politik,” katanya.
Perlawanan menentang New Zealand bakal menjadi ujian pertama Iran selepas Washington dan Tehran baru-baru ini mengumumkan perjanjian kekal bagi menamatkan konflik yang membelenggu hubungan kedua-dua negara sejak beberapa bulan lalu. – AGENSI










