NEW YORK: Dua legenda bola sepak dunia, Thierry Henry dan Pele menerima penghormatan istimewa apabila nama mereka diabadikan pada jalan raya di New York sempena sambutan Piala Dunia 2026 yang bermula hari ini.
Langkah simbolik itu dilakukan pihak berkuasa bandar raya tersebut sebagai penghargaan terhadap sumbangan besar kedua-dua ikon berkenaan kepada pembangunan dan populariti bola sepak di peringkat global.
Jalan West 50th Street dan 6th Avenue di Manhattan kini dikenali sebagai “Thierry Henry Way”, sekali gus mengangkat status bekas penyerang Perancis itu sebagai antara pemain paling berpengaruh dalam sejarah sukan tersebut.
Henry yang membantu Perancis menjulang Piala Dunia 1998 turut menyertai majlis perasmian secara maya, selain dikenang atas jasa besarnya bersama kelab Liga Bola Sepak Amerika Syarikat (MLS), New York Red Bulls dari 2010 hingga 2014.
Dalam masa sama, satu lagi persimpangan di daerah Queens turut diberikan nafas baharu apabila dinamakan sempena legenda Brazil, Pele yang dianggap ramai sebagai pemain terhebat sepanjang zaman.
Penghormatan kepada Pele dilihat cukup signifikan memandangkan pengaruhnya yang melangkaui sempadan bola sepak dan terus menjadi inspirasi kepada generasi pemain di seluruh dunia walaupun sudah meninggal dunia pada penghujung 2022.
Inisiatif itu dibuat bersempena Piala Dunia 2026 yang dianjurkan bersama Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico dengan perlawanan akhir dijadual berlangsung di Stadium MetLife yang kini dikenali sebagai Stadium New York New Jersey.
Menurut pihak penganjur, nama jalan berkenaan akan dikekalkan sehingga 1 November depan sebagai sebahagian daripada sambutan terbesar bola sepak dunia yang kini kembali menghiasi bumi Amerika Utara. – AGENSI










