MANCHESTER: England memiliki segala ramuan untuk mencabar kejuaraan Piala Dunia 2026, namun masih belum setanding beberapa kuasa besar bola sepak dunia.
Biarpun dibarisi pemain berkualiti di setiap posisi, pasukan besar seperti Sepanyol, Perancis, Brazil dan Argentina dijangka menjadi penghalang utama untuk menjulang trofi berprestij itu.
“Berdasarkan bakat yang dimiliki, sasaran England sepatutnya adalah untuk menjuarai Piala Dunia.
“Namun apabila melihat pasukan yang bakal menjadi pencabar utama, saya fikir ada beberapa negara yang mempunyai skuad lebih lengkap berbanding England,” kata lagenda England, Alan Shearer.
Menurut penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga Perdana Inggeris (EPL) itu, England banyak bergantung kepada benteng pertahanan selain sentuhan penyudah kapten pasukan, Harry Kane.
Katanya, penyerang Bayern Munich itu perlu mengekalkan prestasi terbaik sekiranya England mahu melangkah jauh dalam kejohanan yang bakal berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico pada 11 Jun ini.
“Jika pertahanan berfungsi dengan baik dan Kane melakukan apa yang sering dilakukannya, England mempunyai peluang untuk mencipta kejayaan.Untuk pergi lebih jauh, Kane perlu berada pada tahap terbaik,” ujarnya.
Pada masa sama, Shearer meminta penyokong memberi kepercayaan penuh kepada Thomas Tuchel untuk membentuk pasukan mengikut falsafahnya sendiri tanpa tekanan luar.
Menurutnya, bekas pengendali Chelsea dan Bayern Munich itu perlu bebas membuat keputusan besar termasuk menggugurkan pemain tertentu demi memastikan keharmonian bilik persalinan terpelihara.
“Mungkin ada pemain yang lebih berbakat tidak dipilih, tetapi pengurus mempunyai sebab tersendiri demi keseimbangan pasukan.Keputusan seperti itu perlu dihormati,” katanya.-AGENSI










