FOXBOROUGH: Pengurus Scotland, Steve Clarke menegaskan pasukannya tidak akan terus dibelenggu kekecewaan selepas tewas 0-1 kepada Maghribi, sebaliknya bersedia bangkit untuk mencabar juara lima kali, Brazil pada aksi terakhir Kumpulan C Piala Dunia 2026.
Scotland kini mengumpul tiga mata daripada dua perlawanan selepas mencatat kemenangan 1-0 ke atas Haiti pada aksi pembukaan seklaigus kemenangan pertama mereka di pentas Piala Dunia dalam tempoh 36 tahun sebelum tunduk kepada Maghribi di Massachusetts.
Menurut Clarke, pemainnya memerlukan sedikit masa untuk menerima hakikat kekalahan itu sebelum kembali memberi tumpuan kepada aksi penentuan menentang Brazil.
“Pertama sekali, anda perlu membiarkan pemain merasai sedikit kekecewaan dalam tempoh 48 jam akan datang kerana itulah yang akan mereka alami. Mereka tidak suka kalah kepada sesiapa pun.
“Jadi kami akan berehat, pulih dan bersedia untuk bangkit semula. Perlawanan selepas ini tidak akan menjadi lebih mudah,” katanya.
Maghribi bermula garang apabila penyerang mereka, Ismael Saibari meledak gol seawal minit kedua, hanya selepas 71 saat permainan berlangsung, sekali gus menjadi jaringan terpantas kejohanan setakat ini.
Meskipun dibolosi awal, Scotland tidak mengalah dan berjaya mengimbangi permainan sebelum memberikan tentangan sengit pada separuh masa kedua.
“Saya fikir kami bangkit semula pada babak pertama. Mungkin kami mengambil masa kira-kira 10 minit untuk benar-benar masuk ke dalam perlawanan kerana jelas sekali kami menerima tamparan awal.
“Pasukan yang lebih lemah mungkin sudah runtuh apabila berdepan lawan berkualiti seperti itu, tetapi kami terus bertahan.
“Kami mula menggerakkan bola dengan lebih baik dan selepas rehat hidrasi, kami bermain dengan baik. Momentum itu diteruskan pada babak kedua apabila kami benar-benar mencabar mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Clarke turut melahirkan rasa kecewa apabila dua rayuan penalti melibatkan John McGinn dan Scott McTominay tidak dilayan pengadil.
“Insiden McGinn itu adalah situasi 50-50. Ada pengadil yang akan memberikannya dan saya fikir jika pengadil memberikan penalti itu, VAR juga tidak akan membatalkannya.
“Namun, tiada apa yang boleh kami lakukan mengenainya sekarang,” ujar Clarke.
Scotland kini perlu sekurang-kurangnya mengelak kekalahan ketika menentang Brazil jika mahu terus menghidupkan peluang mara ke pusingan 32 terakhir, sama ada secara automatik atau sebagai antara lapan pasukan tempat ketiga terbaik. – AGENSI










