Ancelotti yakin Brazil mampu pergi lebih jauh

Ancelotti yakin Brazil mampu pergi lebih jauh

CARLO Ancelotti-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Philadelphia: Carlo Ancelotti memuji aksi menyeluruh Brazil selepas skuad Selecao membenam Haiti 3-0 pada aksi Kumpulan C Piala Dunia 2026, sekali gus memberi amaran bahawa pasukannya masih mempunyai ruang besar untuk menjadi lebih hebat menjelang pusingan kalah mati.

Selepas diikat Maghribi 1-1 dalam aksi pembukaan, Brazil bangkit dengan penuh bergaya menerusi dua jaringan Matheus Cunha, manakala Vinicius Junior terus mempamerkan sentuhan berbisa apabila meledak gol kedua berturut-turut.

Kemenangan di Philadelphia itu menyaksikan Brazil kini mendahului Kumpulan C dengan empat mata, berkongsi jumlah mata dengan Maghribi namun memiliki kelebihan perbezaan jaringan.

Malah, juara dunia lima kali itu kini berada di landasan terbaik untuk mengesahkan tempat ke pusingan 32 terakhir dengan hanya berbaki satu lagi perlawanan peringkat kumpulan.

“Ia adalah perlawanan yang lengkap dan jauh lebih baik berbanding aksi pertama.Pada separuh masa pertama kami bermain dengan sangat baik.

“Pada babak kedua pula kami lebih mengawal permainan, tetapi masih mampu mencipta banyak peluang dan sebenarnya boleh menjaringkan lebih banyak gol,” kata Ancelotti.

Pengendali dari Itali itu mengakui persembahan anak buahnya kali ini menepati apa yang diharapkan selepas aksi kurang meyakinkan ketika seri dengan Maghribi.

“Kami mempamerkan kualiti yang lebih baik, melakukan lebih sedikit kesilapan, lebih berkesan ketika menyerang dan lebih tersusun ketika bertahan.

“Dari segi intensiti juga, saya berpuas hati. Sudah tentu masih ada beberapa perkara yang perlu diperbaiki dan kami akan terus meningkat untuk menghadapi pusingan kalah mati,” katanya.

Brazil akan menutup kempen peringkat kumpulan menentang Scotland di Miami pada Rabu depan dengan Ancelotti sedar status juara kumpulan mampu memberi laluan lebih mudah pada pusingan seterusnya.

Scotland yang tewas 0-1 kepada Maghribi kini berada dalam keadaan terdesak dan perlu meraih keputusan positif untuk terus menghidupkan peluang mara.

“Kami mahu membuat persiapan terbaik untuk perlawanan itu.Scotland mempunyai identiti permainan tersendiri dan mereka berjaya menyukarkan Maghribi hari ini.Kami perlu kekal tenang, fokus dan memberikan sepenuh perhatian kepada perlawanan itu,” katanya.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN