Syarikat media sosial Trump catat kerugian RM1.5b

Syarikat media sosial Trump catat kerugian RM1.5b

TRUMP Media & Technology Group (TMTG) melaporkan hasil pendapatan kurang daripada AS$1 juta bagi tempoh tiga bulan yang berakhir 31 Mac.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Syarikat induk Truth Social, platform media sosial milik Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, melaporkan kerugian bersih lebih AS$400 juta (RM1.5 bilion) pada suku pertama, sebahagian besarnya akibat kejatuhan nilai mata wang kripto.

Trump Media & Technology Group (TMTG) melaporkan hasil pendapatan kurang daripada AS$1 juta (RM3.92 juta) bagi tempoh tiga bulan yang berakhir 31 Mac, menurut pemfailan syarikat.

Trump, kerap menggunakan Truth Social untuk membuat pengumuman rasmi, mengawal kira-kira 41 peratus saham TMTG melalui amanah yang ditubuhkan untuk mengurus kepentingan kewangan semasa beliau memegang jawatan presiden.

TMTG juga aktif dalam perkhidmatan kewangan, dan syarikat itu mengumumkan pembiayaan AS$2.5 bilion (RM9.8 bilion) setahun lalu untuk melabur dalam mata wang kripto.

Namun, kejatuhan nilai mata wang digital memberi kesan besar kepada bahagian perniagaan tersebut apabila harga Bitcoin merosot daripada lebih AS$126,000 (RM493,953) pada awal Oktober kepada di bawah AS$70,000 (RM274,418) pada Mac.

Sejak itu, ia pulih sedikit kepada lebih AS$80,000 (RM313,622).

Oleh kerana syarikat itu dikehendaki mendedahkan nilai pelaburannya walaupun belum menjual aset tersebut, ia merekodkan kerugian sebanyak AS$406 juta (RM1.5 bilion) bagi suku pertama.

Menurut kenyataan syarikat, sebahagian besar daripada kerugian berpunca daripada aset digital.

Berdasarkan pemfailan tersebut, TMTG menjana pendapatan sebanyak AS$900,000 (RM3.5 juta) pada suku pertama, jumlah yang sangat kecil bagi syarikat yang dinilai pada AS$2.47 bilion (RM9.68 bilion) di pasaran saham.

TMTG berkata pada Disember, ia akan bergabung dengan syarikat Amerika TAE Technologies, yang sedang membangunkan teknologi pelakuran nuklear.

Perjanjian itu dijangka dimuktamadkan pada pertengahan 2026.- AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×