Imej Liga A1 terus tercalar

Imej Liga A1 terus tercalar

LIGA A1 Semi Pro musim 2025/26 terus catat satu demi satu isu berbangkit sehingga mencetuskan persepsi negatif.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Imej Liga A1 Semi Pro musim 2025/26 terus tercalar apabila satu demi satu isu berbangkit mencetuskan persepsi negatif terhadap kredibiliti saingan tersebut.

Selepas kecoh berhubung kelewatan bayaran elaun pengadil sebelum ini, liga berkenaan sekali lagi dihimpit kontroversi apabila berlaku insiden pasukan gagal menurunkan jumlah pemain mencukupi dalam satu perlawanan rasmi.

Insiden terbaharu itu melibatkan aksi antara Kelantan WTS FC berdepan Perlis GSA FC di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, yang menyaksikan kelab dari Utara tanah air tersebut hanya menurunkan lapan pemain.

Perkembangan itu menimbulkan persoalan serius mengenai tahap pengurusan kelab serta kesiapsiagaan pihak penganjur dalam memastikan kelancaran perjalanan liga yang sepatutnya menjadi platform pembangunan bola sepak tempatan.

Lebih membimbangkan, isu berulang seperti ini dilihat memberi gambaran bahawa Liga A1 masih bergelut dengan masalah asas, termasuk kewangan pasukan, komitmen pemain dan pematuhan terhadap peraturan pertandingan.

Sekiranya situasi ini tidak ditangani segera, ia berpotensi menjejaskan keyakinan penaja, penyokong serta pihak berkepentingan lain yang menjadi nadi kelangsungan liga.

Kredibiliti liga sebagai pentas mencungkil bakat baharu juga boleh terjejas jika imej negatif terus menghantui saingan dan akan merencatkan usaha memperkukuh ekosistem bola sepak negara.

Justeru, tindakan tegas dan penyelesaian menyeluruh amat diperlukan daripada pihak berkaitan bagi memastikan Liga A1 Semi Pro kembali berada di landasan tepat serta tidak terus dipalit isu yang mencalarkan reputasinya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN