Selangor tewas 1-0 pada final pertama ACC

Selangor tewas 1-0 pada final pertama ACC

FAISAL Halim berjaya melepasi kawalan pertahanan Buriram United dalam aksi final pertama Kejuaraan ACC 2025/26 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Impian Selangor FC untuk membawa bekalan selesa ke Thailand tidak kesampaian apabila tewas 0-1 kepada Buriram United pada aksi final pertama Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) 2025/26 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi.

Kekalahan tipis itu meletakkan skuad Gergasi Merah dalam tekanan menjelang aksi timbal balik di gelanggang lawan, Rabu depan, apabila mereka perlu mencari kemenangan ke atas juara Thailand itu untuk terus menghidupkan peluang menjulang trofi serantau berprestij berkenaan.

Anak buah Kim Pan Gon bermula positif dengan menguasai permainan di hadapan ribuan penyokong sendiri, namun pelawat terlebih dahulu mencuri kelebihan menerusi sentuhan penyerang berbisa, Suphanat Mueanta pada minit ke-25.

Penyerang kebangsaan Thailand itu mudah menanduk masuk bola untuk menewaskan penjaga gol, Sikh Izhan Nazrel sekali gus membisukan penyokong tuan rumah yang mengharapkan permulaan sempurna.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Selangor menggandakan asakan dan hampir menyamakan kedudukan enam minit kemudian menerusi Mohammad Abualnadi yang berjaya menolak masuk bola selepas sepakan percuma Alvin Fortes terkena palang.

Bagaimanapun, sorakan penyokong Gergasi Merah tidak bertahan lama apabila jaringan itu dibatalkan selepas pengadil mengesan Abualnadi berada dalam kedudukan ofsaid.

Selangor terus mengasak bagi memburu gol penyamaan dan hampir mendapatkannya pada penghujung babak pertama, namun tandukan Chrigor Moraes hasil hantaran sepakan percuma Faisal Halim sedikit tersasar.

Buriram juga tidak kurang berbahaya apabila hampir menggandakan jaringan, namun Sikh Izhan bertindak cemerlang menafikan percubaan Suphanat untuk memastikan kedudukan kekal 1-0 sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, Selangor tampil lebih agresif dengan melancarkan serangan bertali arus, namun disiplin tinggi benteng pertahanan Buriram berjaya menyerap tekanan demi tekanan sekali gus mempertahankan kelebihan tipis mereka sehingga wisel penamat.

Keputusan itu menyaksikan Selangor kini berdepan misi sukar di Thailand apabila wajib mencipta kemenangan pada aksi timbal balik jika mahu menjulang kejuaraan ACC musim ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN