Congo 'diserang' strain baharu wabak Ebola

Congo ‘diserang’ strain baharu wabak Ebola

PETUGAS kesihatan berada di dalam 'zon merah' pusat rawatan wabak Ebola di Butembo.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KINSHASA: Kementerian Kesihatan Republik Demokratik Congo (DRC) kelmarin melaporkan 80 orang maut akibat wabak baharu Ebola di wilayah Ituri, di timur negara itu.

Menteri Kesihatan, Samuel Roger Kamba Mulamba dalam kenyataan berkata, sampel yang diuji pada Khamis mengesahkan lapan kes jangkitan strain Bundibugyo virus Ebola di zon kesihatan Rwampara, Mongbwalu dan Bunia.

Kementerian berkata, sehingga kini sebanyak 246 kes disyaki jangkitan virus itu direkodkan.

Kerajaan Congo mengaktifkan pusat operasi kecemasan kesihatan awam, termasuk memperkukuh pemantauan epidemiologi dan makmal serta mengarahkan penempatan segera pasukan tindak balas ke kawasan terjejas.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Afrika pada Jumaat memaklumkan terdapat wabak Ebola yang disahkan di wilayah Ituri, dengan angka kematian dilaporkan mencecah 65 orang.

Agensi kesihatan awam itu berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat tergempar bersama Congo, Uganda, Sudan Selatan dan rakan kongsi global bagi memperkukuh pemantauan rentas sempadan serta usaha tindak balas.

CDC Afrika berkata, kematian dan kes disyaki dilaporkan terutama di zon kesihatan Mongwalu serta Rwampara, manakala empat kematian dicatatkan dalam kalangan kes yang disahkan melalui ujian makmal.

Kes disyaki turut dilaporkan di Bunia, ibu kota wilayah itu.

Agensi itu berkata, penemuan awal menunjukkan virus tersebut bukan daripada strain Zaire, namun ujian lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti jenisnya dengan lebih tepat.

Ahli virologi Congo, Jean-Jacques Muyembe memberitahu Reuters, hampir semua daripada 16 wabak Ebola di negara itu sebelum ini berpunca daripada strain Zaire.

Beliau berkata, pengesanan varian berbeza akan menyukarkan usaha tindak balas kerana rawatan dan vaksin sedia ada dibangunkan khusus untuk strain Zaire.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN