SINGAPURA: Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Pete Hegseth, menggesa sekutu di Asia meningkatkan perbelanjaan ketenteraan bagi mengekang peningkatan kuasa China dan mengelakkan dominasi Beijing di rantau itu.
Menurut Hegseth, kebimbangan terhadap pembangunan ketenteraan China adalah ‘berasas’ susulan peningkatan pesat keupayaan dan aktiviti ketenteraan negara itu.
“Pasifik yang dikuasai oleh mana-mana hegemon akan meruntuhkan keseimbangan kuasa serantau. Tiada negara, termasuk China, boleh memaksakan hegemoni dan meletakkan keselamatan negara kita serta sekutu dalam keadaan terancam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Dialog Shangri-La di Singapura semalam, sidang kemuncak pertahanan yang menghimpunkan pemimpin keselamatan dan pertahanan dari seluruh rantau Asia-Pasifik.
Hegseth berkata, AS menjangkakan sekutu dan rakan kongsi di Asia meningkatkan perbelanjaan pertahanan kepada 3.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), selain mengumumkan komitmen pelaburan AS sebanyak AS$1.5 trilion (RM5.9 trilion) untuk ketenteraan negara itu.
Beliau menegaskan, sekutu mahukan kestabilan bukan peningkatan ketegangan.
Hegseth turut berkata, hubungan dengan Beijing kini lebih baik berbanding beberapa tahun sebelumnya, merujuk kepada peningkatan hubungan antara tentera kedua-dua negara.
“Kami bertemu lebih kerap dengan rakan sejawatan di China dengan mengekalkan saluran komunikasi tentera ke tentera yang terbuka,” katanya.
Sejak kembali memegang jawatan, Presiden AS, Donald Trump, menuntut sekutu meningkatkan perbelanjaan pertahanan dan secara terbuka menyatakan rakan Eropah serta Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) perlu mengurangkan kebergantungan kepada Washington.
“Era AS mensubsidi pertahanan negara-negara kaya berakhir. Kami perlukan rakan kongsi, bukan pihak yang dilindungi. Kita tiada pakatan yang kuat melainkan semua pihak sama-sama terlibat. Tiada tumpang senang,” katanya.- AGENSI










