Zi Yu-Noraqilah curi tumpuan, walaupun Malaysia tewas

Zi Yu-Noraqilah curi tumpuan, walaupun Malaysia tewas

Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah Ramdan mengejutkan beregu No. 7 dunia, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi dalam perlawanan Kumpulan B pada Piala Uber di Horsens, Denmark, hari ini.-IHSAN BAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad badminton wanita negara tumpas kepada Jepun 1-4, namun, aksi paling mencuri tumpuan adalah kejayaan beregu remaja, Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah Ramdan mengejutkan pasangan No. 7 dunia, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi dalam perlawanan terakhir Kumpulan B pada Piala Uber di Horsens, Denmark, hari ini.

Pemenang pingat perak Kejohanan Remaja Dunia yang menghuni ranking ke-143 dunia itu melakar kemenangan sensasi ke atas beregu No. 2 Jepun 21-17, 12-21, 21-19 dalam masa 1 jam 3 minit.

Kejayaan tersebut sekurang-kurangnya membantu Malaysia daripada pulang tangan kosong, walaupun kekalahan telah disahkan lebih awal selepas dua perseorangan, K. Letsahanaa dan Wong Ling Ching serta beregu pecah ganding, Ong Xin Yee-M. Thinaah tumpas.

Pada ketika Malaysia ketinggalan 0-3, Zi Yu-Noraqilah tampil menjadi penebus maruah negara dengan kejayaan mereka merapatkan jurang kepada 1-3.

Letshanaa yang turun sebagai perseorangan pertama Malaysia mempamerkan semangat juang yang tinggi sebelum akur kepada bintang No. 3 dunia, Akane Yamaguchi 19-21, 17-21 dalam masa 41 minit.

Kekalahan Letshanaa yang merupakan pemain No. 34 dunia menyaksikan skuad negara ketinggalan 0-1 dan kedudukan itu semakin melebar kepada 0-2 apabila Xin Yee-Thinaah turut kecundang.

Xin Yee-Thinaah mempamerkan aksi serba tidak menjadi sebelum tunduk kepada pasangan No. 6 dunia, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto 9-21, 9-21 dalam masa 35 minit.

Nasib terus tidak berpihak kepada Malaysia apabila perseorangan kedua, Ling Ching yang berusaha menghadirkan tentangan turut tumpas kepada bintang muda Jepun yang berada di ranking No. 9 dunia, Tomoka Miyazaki 16-21, 13-21 dalam masa 47 minit.

Perseorangan ketiga, Goh Jin Wei yang turun selepas kemenangan Zi Yu-Noraqilah bermain baik apabila meraih kemenangan ke atas pemain No. 22 dunia, Riko Gunji dalam set pertama 21-19.

Tetapi, malangnya anak jati Pulau Pinang itu tidak mampu meneruskan permainan ketika ketinggalan 3-4 sewaktu saingan berlangsung dalam set kedua.

Pemain profesional yang menghuni ranking ke-54 dunia itu dipercayai mengalami kejang perut sehingga memaksanya tidak meneruskan permainan dan sekali gus menghadiahkan kemenangan percuma kepada Gunji.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan Malaysia tumpas kepada Jepun 1-4, namun, skuad wanita negara telahpun mengesahkan tempat ke suku akhir lebih awal, selepas menyingkirkan Afrika Selatan 5-0, kelmarin.

Kekalahan tersebut juga menyaksikan Malaysia muncul selaku naib juara Kumpulan B di belakang Jepun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN