BANGI: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bersara awal seawal usia 39 tahun digalak untuk terus bekerja dan tidak hanya bergantung kepada pencen semata-mata.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kebanyakan veteran masih dalam usia produktif dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara.
“Veteran biasanya bersara pada usia 39 tahun. Jika hanya bergantung kepada pencen yang kecil, apatah lagi dengan tanggungan anak yang masih bersekolah, mereka berisiko berdepan kesusahan dan kemiskinan.
“Kita juga tidak mahu mereka (persara) bergantung kepada bantuan kebajikan kerajaan. Mereka umur yang boleh menyumbang kepada kemajuan negara. Mereka mesti kita galakkan untuk bekerja.
“Jangan kata saya dah pencen, saya taknak kerja. Saya nak makan pencen sahaja. Itu tak cukup jadi dia mesti ada kesedaran itu, mesti menerima hakikat bahawa dengan pencen ditambah dengan gaji yang baik dia boleh hidup secara bermaruah.,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pertama Majlis Tertinggi Gabungan Persatuan-Persatuan Veteran ATM di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, Kementerian Pertahanan (Mindef) menyediakan Program PROWIRA antara program perupayaan utama bantu veteran ATM.
Beliau berkata, Prowira merupakan program perupayaan utama yang akan dilaksanakan bagi membantu veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selepas menamatkan perkhidmatan.
“Program itu dirangka khusus untuk memastikan veteran tidak berdepan kesukaran hidup selepas bersara,” katanya. – UTUSAN










