LONDON: Liverpool menghidupkan peluang ke Liga Juara-Juara (UCL) musim depan selepas kaptennya, Virgil van Dijk muncul wira dengan jaringan saat akhir menewaskan seteru setempat, Everton 2-1 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), sebentar tadi.
Kemenangan dramatik di Stadium Hill Dickinson itu hadir tepat pada masanya menjelang pertembungan gergasi antara Manchester City dan Arsenal yang bakal menentukan hala tuju perebutan kejuaraan liga.
The Reds kendalian Arne Slot kini semakin selesa di kedudukan kelima dengan kelebihan tujuh mata ke atas Chelsea sekali gus memberi nafas baharu dalam perebutan kelompok lima terbaik.
Van Dijk memastikan tiga mata penuh menjadi milik Liverpool apabila menanduk masuk sepakan sudut Dominik Szoboszlai pada minit ke-100 untuk menewaskan penjaga gol Everton, Jordan Pickford.
Sebelum itu, Mohamed Salah membuka tirai jaringan hasil hantaran kemas Cody Gakpo, sekali gus menyamai rekod legenda Steven Gerrard sebagai penjaring terbanyak dalam derbi Merseyside.
Everton bangkit menyamakan kedudukan menerusi Beto selepas gerakan di sebelah kiri oleh Kiernan Dewsbury-Hall, namun kegembiraan itu tidak bertahan lama.
Dalam perkembangan lain, Aston Villa mencuri tumpuan apabila mencatat kemenangan dramatik 4-3 ke atas Sunderland meskipun hampir mensia-siakan kelebihan selesa.
Penyerang England, Ollie Watkins meledak dua gol sebelum jaringan lewat Tammy Abraham memastikan tiga mata berharga buat skuad kendalian Unai Emery.
Di zon bawahan, Nottingham Forest menarik nafas lega selepas Morgan Gibbs-White mencipta hatrik untuk menewaskan Burnley 4-1 sekali gus menjauhkan diri daripada penyingkiran.
Keputusan itu menambah tekanan ke atas Tottenham Hotspur yang terus bergelut, menjadikan baki lima perlawanan terakhir musim ini sebagai penentu hidup mati buat beberapa pasukan. – AGENSI










