Skuad pecut lelaki tersingkir awal di Nilai

Skuad pecut lelaki tersingkir awal di Nilai

(DARI kiri) Adib Andhar Andan, Muhammad Fadhil Zonis dan Mohd Akmal Nazimi Jusena pada pusingan akhir Piala Dunia Trek di Velodrom Nasional, Nilai, hari ini. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad trek pecut lelaki negara menerima tamparan hebat apabila kecundang di laman sendiri selepas tersingkir seawal pusingan kelayakan acara pecut berpasukan lelaki pada pusingan akhir Piala Dunia Trek di Velodrom Nasional, Nilai, hari ini.

Barisan baharu yang dibarisi oleh Adib Andhar Andan, Mohd Akmal Nazimi Jusena dan Muhammad Fadhil Zonis itu mencatat masa 45.704 saat (s) untuk menduduki tangga ke-13 daripada 14 pasukan bertanding.

Keputusan tersebut menyaksikan Malaysia gagal mara ke pusingan pertama apabila hanya lapan pasukan terbaik layak meneruskan cabaran.

Ketiadaan tonggak utama, Muhammad Ridwan Sahrom yang mengalami kecederaan bahu selepas mengalami kemalangan pada aksi pusingan kedua di Hong Kong minggu lalu memaksa perubahan saat akhir dilakukan dalam barisan pasukan.

Penyertaan Adib yang hanya dimaklumkan tiga hari sebelum perlumbaan jelas memberi cabaran besar dari segi persiapan fizikal dan keserasian pasukan.

“Persiapan memang tidak sempurna, secara fizikal saya belum bersedia sepenuhnya tetapi dari segi mental saya beri segalanya hingga selepas perlumbaan saya tidak mampu berdiri,” kata Adib kepada pemberita selepas perlumbaan di sini, hari ini.

Dalam masa sama, tekanan beraksi di pentas besar tetap dirasai namun pelumba berusia 21 tahun itu menganggap ia sebagai sebahagian daripada proses mematangkan dirinya.

“Kita perlu ada tekanan kerana tanpa tekanan bermakna kita tidak peduli, jadi saya akui sedikit gementar tetapi tetap cuba lakukan yang terbaik,” katanya.

Bagaimanapun, skuad wanita negara yang dibarisi oleh ratu trek negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, Anis Amira Rosidi dan Nur Allysa Mohd Farid mara pusingan pertama selepas mempamerkan aksi memberangsangkan pada aksi kelayakan tengah hari tadi.

Trio negara menamatkan aksi kelayakan di tempat kelima dari 11 pasukan yang bertanding dengan catatan 48.274s.

Skuad negara kini akan turun pada pukul 7 malam ini menentang Poland pada saringan pertama bagi menempah tiket ke final. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN