PETALING JAYA: Mara ke pentas akhir dalam kejohanan berstandard Super 750 secara berturut-turut, menjadi indikasi kebangkitan semula beregu wanita No. 1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah yang sejak kebelakangan ini dibelenggu dengan isu kecergasan ekoran masalah kecederaan.
Pearly yang bergelut dengan kecederaan belakang berkata, banyak perkara positif yang berlaku sepanjang penyertaan mereka pada Terbuka Denmark dan Terbuka Perancis, lebih-lebih lagi jika soal momentum diperkatakan.
“Kami hadir ke Paris dengan keyakinan tinggi selepas perkara positif yang berlaku pada kejohanan terdahulu.
“Perkara baik yang terjadi adalah kami kembali mendapatkan momentum, malah, kami lebih saling mempercayai dan menyokong di antara satu sama lain berbanding dulu,” katanya ketika ditemu bual selepas final Terbuka Perancis, hari ini.
Beregu wanita No. 4 dunia itu tewas kepada juara bertahan yang juga pasangan No. 3 dunia, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto dari Jepun 21-10, 17-21, 16-21 dalam masa 1 jam 4 minit.
Menurutnya, tidak mudah berdepan beregu sebagus Fukushima-Matsumoto, kelemahan pergerakan kaki yang agak perlahan antara punca kekalahan mereka terutama dalam set ketiga.
Sementara itu, Thinaah pula memberitahu, mereka juga terperangkap dengan perubahan strategi, selain tekanan yang diberi pihak lawan.
“Kami sebenarnya berusaha untuk bangkit pada hujung aksi, tetapi jurang mata yang terlalu jauh menyukarkan kami berbuat demikian dan keyakinan mereka juga semakin meningkat,” ujarnya.
Mengulas mengenai keserasian dengan Rosman Razak, Thinaah berkata, ketua jurulatih beregu wanita kebangsaan itu banyak membantu dia serta Pearly mengurangkan perasaan gemuruh dan menegur mereka ketika terlalu gopoh dalam permainan.
“Saya rasa dia sentiasa mengingatkan kami dan beri keyakinan, tanpa mengira sama ada kami sedang ketinggalan atau mendahului lawan, kehadiran jurulatih amat penting buat kami,” katanya. – UTUSAN











