PETALING JAYA: Kemenangan ke atas tuan rumah Indonesia menjadi motivasi terbaik buat skuad Malaysia Bawah 16 tahun (B-16) yang kini memasang tekad untuk meneruskan momentum itu menjelang aksi penentuan Kumpulan A menentang Timor Leste, esok.
Ketua jurulatih skuad B-16 negara, Shukor Adan menegaskan kemenangan tersebut bukan sekadar meraih tiga mata penting, malah menjadi pemangkin keyakinan buat pemain muda negara untuk kembali percaya kepada keupayaan sendiri.
“Pertama sekali, saya nak ucapkan syukur Alhamdulillah atas kemenangan Malaysia. Saya fikir hari ini para pemain telah mencabar diri mereka selepas tewas kepada Vietnam.
“Mereka telah membuktikan bahawa mereka memiliki mentaliti yang sangat kuat. Aksi Timor Leste penentu kepada kemaraan ke separuh akhir dan pemain sedar tentang perkara itu,” katanya.
Menurut Shukor, reaksi positif yang dipamerkan anak buahnya jelas memperlihatkan kematangan dari segi mental, terutama selepas kekecewaan dibelasah Vietnam 4-0 dalam perlawanan pembukaan.
Beliau turut memuji keberkesanan corak latihan yang diterapkan, khususnya dalam menangani tekanan tinggi daripada pasukan tuan rumah sepanjang perlawanan.
“Hasil latihan kita yang sangat efektif terutama pada separuh masa kedua bila berdepan corak permainan Indonesia.
“Pemain-pemain mempunyai semangat juang yang tinggi ketika bertahan dan kita berhasil mematahkan semangat serangan pasukan Indonesia. Itulah yang terbukti pada babak kedua tadi,” ujarnya.
Kejayaan tersebut kini menjadi tonik terbaik buat skuad muda negara dalam menghadapi perlawanan terakhir kumpulan, dengan peluang untuk mara ke separuh akhir masih terbuka.
Selain wajib menundukkan Timor Leste dengan jaringan besar, Malaysia juga perlu mengharapkan Indonesia tewas kepada Vietnam.-UTUSAN







