Malaysia tersungkur, Vietnam juara ASEAN B-17

Malaysia tersungkur, Vietnam juara ASEAN B-17

Kekalahan itu bukan sahaja memadam impian menjulang trofi, malah mengesahkan penantian tujuh tahun negara terus berpanjangan sejak kali terakhir muncul juara pada 2019.-IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harapan menggunung bertukar mimpi ngeri buat skuad remaja negara apabila Malaysia B-16 sekali lagi gagal menyaingi keampuhan Vietnam B-16 selepas tewas 0-3 dalam pentas final Kejuaraan ASEAN B-17 2026 di Sidoarjo, Jawa Timur, sebentar tadi.

Kekalahan itu bukan sahaja memadam impian menjulang trofi, malah mengesahkan penantian tujuh tahun negara terus berpanjangan sejak kali terakhir muncul juara pada 2019.

Anak buah Shukor Adan dilihat bergelut sejak awal permainan apabila Vietnam tidak memberi ruang langsung untuk bernafas apabila gol pembukaan seawal minit ke-11 oleh Dao Quy Vuong jelas merencatkan perancangan Malaysia.

Vietnam yang tampil lebih tersusun hampir menggandakan jaringan pada minit ke-20, namun percubaan mereka sekadar menggegar palang sekaligus memberi amaran awal bahawa benteng negara sedang menanti detik runtuh.

Malaysia yang bergantung kepada serangan balas cuba mencuri peluang menerusi rembatan jarak jauh Nur Azam Muslim Nor Hisham, tetapi sentuhan penyudah terus mengecewakan.

Detik paling memeritkan hadir di penghujung babak pertama apabila Nguyen Van Duong pantas menyambar peluang di dalam kotak penalti untuk menjadikan kedudukan 2-0 sebelum rehat.

Memasuki separuh masa kedua, Vietnam terus mengganas dengan Van Duong sekali lagi menghukum kealpaan pertahanan negara pada minit ke-54, menutup rapat peluang Malaysia untuk bangkit.

Walaupun ketinggalan, skuad muda negara tidak mengangkat bendera putih apabila mereka terus melancarkan beberapa percubaan, namun ketumpulan jentera serangan menjadi penghalang utama untuk merobek gawang lawan.

Akhirnya, wisel penamat menoktahkan satu lagi episod pahit buat bola sepak remaja negara yang tewas tanpa jaringan, dan sekali lagi terpaksa menyaksikan Vietnam menjulang kejuaraan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN