Rundingan damai AS-Iran tidak sekat Israel bedil Lubnan - Utusan Malaysia

Rundingan damai AS-Iran tidak sekat Israel bedil Lubnan

PASUKAN penyelamat bergegas ke lokasi serangan udara Israel yang menyasarkan Pusat Keselamatan Negara Lubnan, di bandar Nabatieh, di selatan negara kelmarin.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Ketegangan di Lubnan meningkat apabila Israel semakin agresif meneruskan serangan udara di selatan negara itu semalam, ketika sekutunya Amerika Syarikat (AS) mengadakan rundingan damai dengan Iran di Pakistan.

Siri serangan terbaharu Israel pada awal pagi Sabtu mengorbankan sekurang-kurangnya tiga nyawa dan memusnahkan sebuah bangunan kediaman di bandar Mefdoun di selatan Nabatieh.

Tentera Israel turut memusnahkan beberapa bangunan kediaman di Jalan Martyr Sabra dan kawasan kejiranan Maqam, selain menyerang bandar Jebchit yang menyasarkan sebuah kompleks penjana elektrik persendirian hingga terbakar.

Serangan Israel turut memuncak pada Jumaat walaupun Presiden Donald Trump mengumumkan gencatan senjata sementara dengan Iran dua hari sebelumnya, yang didakwa Pakistan turut merangkumi Lubnan.

Bagaimanapun, Israel mendakwa gencatan senjata antara AS dan Iran yang mengadakan rundingan di Islamabad tidak melibatkan Lubnan.

Sehari selepas gencatan senjata di Iran, Israel melancarkan 100 serangan pantas yang mengenai beberapa kawasan di tengah Beirut termasuk kediaman dan bangunan komersial sehingga membunuh sekurang-kurangnya 303 orang, dalam tempoh hanya 10 minit.

Israel memperluaskan operasi ketenteraan di selatan Lubnan sejak insiden serangan rentas sempadan oleh Hizbullah pada 2 Mac, meskipun terdapat gencatan senjata yang dilaporkan berkuat kuasa sejak November 2024.

Kementerian Kesihatan Lubnan melaporkan, jumlah kematian akibat serangan Israel kini meningkat kepada 1,953 orang, dengan 6,303 lagi cedera.

AS dilaporkan akan menjadi tuan rumah rundingan langsung antara Israel dan Lubnan minggu depan, sebagai sebahagian daripada usaha mengukuhkan gencatan senjata.

Namun, Israel pada Jumaat menegaskan tidak akan berbincang mengenai gencatan senjata dengan Hizbullah dalam rundingan berlangsung pada Selasa di Jabatan Negara AS.

Duta Israel, Yechial Leiter berkata, Israel bersetuju memulakan rundingan damai rasmi dengan kerajaan Lubnan, walaupun kedua-dua negara tidak mempunyai hubungan diplomatik.

Beliau menegaskan, Israel menolak sebarang perbincangan gencatan senjata dengan Hizbullah, yang disifatkan sebagai halangan utama kepada keamanan antara kedua-dua negara.- AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×