PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) telah mengkreditkan bantuan khas RM300 bagi setiap murid yang terjejas dalam insiden kebakaran di Kampung Bahagia, Sandakan, Sabah ke akaun sekolah.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, bantuan tersebut akan diagihkan dengan segera oleh pihak sekolah kepada murid terjejas.
“Bantuan khas RM300 bagi setiap murid warganegara Malaysia yang terjejas telah dikreditkan ke akaun sekolah.
“Pihak sekolah akan segera melaksanakan agihan bantuan tersebut kepada murid. Bantuan ini dapat digunakan untuk melakukan persediaan kelengkapan persekolahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Fadhlina, KPM akan menyediakan bantuan psikososial dan murid terjejas diberi kelonggaran pakaian seragam sekolah.
“Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sandakan turut telah diminta untuk memenuhi keperluan murid termasuk bantuan pengangkutan ke sekolah.
“Sokongan psikososial juga disediakan untuk murid, guru dan warga pendidikan. KPM berusaha memastikan bantuan terbaik dapat disalurkan kepada semua murid terjejas dan aspek kebajikan serta kesejahteraan diberi perhatian.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan sumbangan RM300 untuk setiap murid sekolah yang terjejas dalam kebakaran itu.
Anwar berkata, bantuan disalurkan KPM akan memberi manfaat kepada 454 anak warganegara dari 12 sekolah. – UTUSAN









