SEOUL: Seorang warga emas berusia 90-an dijatuhkan hukuman penjara oleh mahkamah Korea Selatan kerana membantu ‘mencuci’ wang hasil penyeludupan dadah bagi pihak anak lelakinya yang kini dipenjarakan di Kemboja.
Mahkamah Daerah Incheon menjatuhkan hukuman penjara selama setahun terhadap wanita berkenaan serta memerintahkan pelucutan hak sebanyak 386 juta won (RM1.03 juta) kerana melanggar Akta Kes Khas Mengenai Pencegahan Penyeludupan Haram Narkotik.
Mahkamah mendapati tertuduh dengan sengaja menerima dan memindahkan dana yang berkaitan jenayah narkotik.
“Mahkamah mendapati tertuduh menerima hasil haram walaupun menyedari keadaan yang menunjukkan kaitannya dengan kesalahan berkaitan dadah,” kata hakim, sambil menegaskan kesan sosial serius jenayah narkotik serta keperluan hukuman tegas.
Mahkamah turut menyatakan terdapat bukti yang menafikan dakwaan tertuduh tidak mengetahui perkara tersebut.
Wanita itu dilaporkan mengunjungi Kemboja sebanyak lima kali pada 2019 dan dimaklumkan melalui telefon mengenai penahanan anaknya di negara itu, sekali gus menyukarkan untuk mempercayai dia tidak menyedari penglibatan anaknya dalam pengedaran dadah.
“Tindakannya menyukarkan usaha mengesan keuntungan haram dan menyumbang kepada penyebaran narkotik, menjadikan kesalahan ini amat serius,” kata hakim.
Bagaimanapun, mahkamah mengambil kira beberapa faktor yang meringankan hukuman, termasuk usia tertuduh, tiada rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan hakikat dia bertindak atas arahan anaknya.
Anaknya yang berusia 60-an ditahan di Kemboja pada Julai 2020 atas beberapa pertuduhan termasuk memiliki metamfetamin dan masih dipenjarakan di negara itu.
Siasatan mendapati, lelaki terbabit dipercayai terus menyelaras operasi pengedaran dadah dari dalam penjara menggunakan telefon bimbit, termasuk mengatur sekurang-kurangnya sembilan penghantaran ke Korea Selatan antara April 2019 hingga Julai 2022.- AGENSI











