Malaysia sahkan tempat ke peringkat kalah mati

Malaysia sahkan tempat ke peringkat kalah mati

K. Letshanaa mengutip mata pertama Malaysia sewaktu beraksi menentang Johanita Scholtz dari Afrika Selatan pada perlawanan Kumpulan B Piala Uber di Horsens, Denmark, hari ini. - Gambar Ihsan Facebook BAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad badminton wanita Malaysia mengesahkan slot ke peringkat kalah mati selepas membenam Afrika Selatan 5-0 dalam perlawanan kedua Kumpulan B pada Piala Thomas/Uber 2026 di Horsens, Denmark, hari ini.

Perseorangan pertama negara, K. Letshanaa meletakkan Malaysia mendahului 1-0 selepas tidak berdepan masalah menewaskan Johanita Scholtz 21-6, 21-10 hanya dalam masa 22 minit.

Letsahanaa berkata, dia dan rakan sepasukan tidak mengambil mudah Afrika Selatan sebagai pencabar kerana kemenangan, hari ini, amat penting untuk membina keyakinan menjelang aksi berdepan Jepun, esok.

“Sasaran utama kami, hari ini, adalah untuk mendapatkan rentak yang baik sebelum bermain menentang Jepun.

“Kemenangan akan memberi saya keyakinan yang boleh saya bawa untuk perlawanan menentang Jepun nanti. Jadi, itulah yang saya rasa, hari ini, dan saya juga rasa bagus kerana saya fokus sejak dari awal lagi,” katanya ketika ditemu bual oleh wakil Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas perlawanan berakhir.

Menurut Letshanaa, walaupun lawannya, Scholtz menghuni ranking yang jauh lebih rendah, tetapi, pemain itu memiliki pukulan yang baik dan sedikit mengejutkannya.

Ketika ditanya pula mengenai kelajuan bulu tangkis dan venue di Horsens, anak jati Selangor itu menjelaskan, selepas bermain dua perlawanan, dia sudah boleh menyesuaikan diri dengan angin, persekitaran, bulu tangkis dan juga keadaan gelanggang.

Sementara itu, rentak kemenangan Malaysia diteruskan Wong Ling Ching selaku perseorangan kedua dan dia mudah mengetepikan Chloe Lai 21-8, 21-4 dalam masa 20 minit.

Mata ketiga Malaysia yang sekali gus memastikan kemenangan berada di dalam genggaman pasukan negara diraih menerusi Siti Zulaikha Muhammad Azmi yang hanya memerlukan 21 minit untuk menundukkan Elme De Villiers 21-11, 21-5.

Malaysia yang menurunkan gandingan muda, Ong Xin Yee-Carmen Ting sebagai beregu pertama mencatat kemenangan straight set ke atas Amy Ackerman-Scholtz 21-16, 21-14 dalam masa 31 minit.

Pasangan pecah ganding, Chong Jie Yu-Low Zi Yu pula memastikan kemenangan sempurna 5-0 dicatat Malaysia selepas mengalahkan De Villiers-Anri Schoonees 21-12, 21-5 dalam masa 21 minit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN