Mahasiswa bebas kritik kerajaan - PM

Mahasiswa bebas kritik kerajaan – PM

ANWAR Ibrahim ketika berucap pada Program Temu Anwar di Kuala Lumpur hari ini.-UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahasiswa bebas mengkritik kerajaan termasuk menerusi platform digital dengan jaminan bahawa saluran rasmi disediakan bagi membawa terus isu dan suara mereka. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perubahan landskap aktivisme daripada bentuk tradisional kepada ruang maya seperti media sosial, forum dan TikTok adalah selari dengan perkembangan semasa tanpa menjejaskan hak pelajar untuk bersuara.

“Ini tidak menghalang mana-mana pihak untuk berhimpun atau berkumpulan. Maksudnya bukan sahaja dalam bentuk tradisional, tetapi juga secara dalam talian.

“Namun, tiada halangan dikenakan. Kalau ingin mengkritik, boleh dan isu-isu yang dibangkitkan, apabila ada keputusan, kita akan jawab,” katanya ketika menjawab soalan pelajar Universiti UCSI, Andi Asyraf Paturusi Adam pada Program Temu Anwar di sini hari ini.

Anwar berkata, pelajar boleh memanfaatkan pelbagai saluran sedia ada termasuk penulisan, surat rasmi atau pertemuan terus dengan pihak berkaitan bagi memastikan pandangan mereka didengar dan dipertimbangkan.

“Saluran maklumat itu ada. Kalau ada mahasiswa yang ingin menyuarakan pandangan, boleh. Mereka juga boleh menulis atau menghantar surat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, wakil pelajar melalui Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) boleh mengatur pertemuan dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam tempoh dua minggu.

“Jika ingin berjumpa, organisasi atau wakil pelajar boleh mengatur pertemuan dengan KPT dalam tempoh dua minggu. Soalan-soalan yang sukar boleh dikemukakan,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN