NILAI: Juara Olimpik lima kali, Harrie Lavreysen mencetuskan debaran menjelang aksi keirin lelaki apabila secara terbuka mengidam pertembungan final menentang jaguh negara, Datuk Azizulhasni Awang pada pusingan akhir Piala Dunia Trek di Velodrom Nasional, Nilai, esok.
Pelumba Belanda itu dilihat tidak berselindung mengenai hasratnya untuk kembali berentap dengan Azizulhasni, yang dikenali sebagai The Pocket Rocketman, dalam apa yang dilihat sebagai pertembungan paling dinantikan peminat.
Menambah lagi kehangatan, kedua-dua pelumba hadir dengan reputasi semasa yang menggerunkan apabila Azizulhasni menjuarai pusingan pertama di Perth, Australia, manakala Lavreysen membuktikan statusnya dengan menguasai pusingan kedua di Hong Kong minggu lalu.
Senario itu secara tidak langsung membentuk naratif ‘final impian’ di Nilai, dengan kedua-duanya berada di landasan terbaik untuk mencipta pertarungan berprofil tinggi di hadapan ribuan penyokong tempatan.
“Saya harap kami boleh mara ke final bersama dan berentap di pentas akhir kerana sudah lama kami tidak berlumba bersama dan saya benar-benar menantikan saingan itu.
“Sudah tentu saya mahu menang tetapi saya tahu dia berada pada tahap terbaik, lebih-lebih lagi ini perlumbaan besar di laman sendiri buatnya dan ia pasti sukar,” kata Lavreysen kepada pemberita selepas perlumbaan di sini, hari ini.
Terdahulu, Lavreysen yang bergandingan bersama Roy Van Den Berg dan Tijmen Van Loon meraih tempat ketiga dalam acara pecut berpasukan lelaki selepas menewaskan Perancis dalam penentuan pingat gangsa.
Sebagai pelumba yang mendominasi pentas dunia dengan tujuh gelaran berturut-turut acara pecut individu sejak 2018, Lavreysen tetap merendah diri apabila mengakui kekagumannya terhadap keazaman Azizulhasni.
“Saya sangat menghormati beliau kerana ketika saya mula berlumba, dia sudah lama berada di pentas ini dan saya juga mengaguminya kerana masih mampu kembali bersaing di tahap tinggi walaupun selepas melalui masalah jantung.
“Saya tidak menjangka dia masih mampu sepantas ini pada usia sekarang dan itu menunjukkan tahap keazaman serta kualiti yang dimilikinya,” katanya. – UTUSAN










