Anak-anak ahli GISBH bawah JKM sudah dipulangkan kepada keluarga - Nancy

Anak-anak ahli GISBH bawah JKM sudah dipulangkan kepada keluarga – Nancy

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Semua kanak-kanak yang dikaitkan dengan gerakan Global Holdings Snd. Bhd. (GISBH) dan sebelum ini berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), telah dipulangkan kepada keluarga masing-masing.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, proses tersebut telah selesai sepenuhnya dan kini tiada lagi kanak-kanak terlibat berada di bawah jagaan agensi berkenaan.

“Tindakan memulangkan kanak-kanak berkenaan dibuat selepas pihak keluarga tampil mengambil mereka mengikut prosedur ditetapkan.

“Sepanjang berada di bawah jagaan kementerian, kebajikan serta keselamatan kanak-kanak tersebut sentiasa diberi keutamaan,” katanya ditemui dalam Majlis Tautan Kasih Ibu Tunggal (KasihnIta), di sini hari ini.

Tambah Nancy, tanggungjawab kementerian dan JKM adalah melindungi kanak-kanak berkenaan dan memastikan mereka tidak didera sepanjang berada di bawah jagaan.

“Jika terdapat unsur penderaan yang berlaku sebelum ini, perkara itu berada di bawah bidang kuasa pihak berkuasa lain untuk tindakan lanjut.

“Kementerian tetap memberi kerjasama penuh kepada agensi penguatkuasa dalam membantu siasatan berkaitan dakwaan tersebut,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan terdapat lebih 400 kanak-kanak dipercayai mangsa eksploitasi diselamatkan dalam serbuan di 20 buah rumah amal sekitar Selangor dan Negeri Sembilan merupakan anak ahli kumpulan GISBH.

Dalam pada itu, Nancy berkata, kementerian akan terus memainkan peranan melindungi kanak-kanak serta memastikan kebajikan mereka terjamin mengikut peruntukan undang-undang sedia ada. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN