Ahli GISBH berdepan tuduhan baharu

Ahli GISBH berdepan tuduhan baharu

MOHAMMAD Fahmi Ngah ketika ditemui pada Sidang DUN Selangor di Shah Alam, Selangor, semalam – UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pengurusan ter­tinggi atau ahli Global Ikhwan Services and Business Hol­dings Sdn. Bhd. (GISBH) bakal berdepan pertuduhan baharu di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr. Mohammad Fahmi Ngah berkata, kesemua mereka akan didakwa dalam masa terdekat.

“Masih ada pendakwaan-pendakwaan yang akan dibuat. Saya tak boleh sebut (perinciannya) tetapi akan ada daripada kerajaan negeri kepada beberapa individu yang diambil tindakan,” katanya ditemui pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, semalam.

Pada 7 November lalu, Utusan Malaysia melaporkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISBH, Nasiruddin Mohd. Ali dan 12 lagi anggota pertubuhan itu dibebaskan selepas dikenakan hukuman penjara 15 bulan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas mengaku bersalah atas tuduhan menjadi anggota pertubuhan yang menyalahi undang-undang.

Bagaimanapun, selain beliau tiga lagi masih berdepan 230 pertuduhan berkaitan penggubahan wang haram (AMLA) bernilai lebih 2.41 juta di Mahkamah Sesyen di sini.

Ia melibatkan Nasiruddin dengan 77 pertuduhan berjumlah RM10,084,323.70 dan tiga bekas akauntan GISBH iaitu Hamimah Yakub, 73, melibatkan 59 pertuduhan dengan nilai RM2,145,357.62.

Selain itu, Asmat @ Asmanira Muhammad Ramly, 45, ­sebanyak 43 pertuduhan berjumlah RM3,806,392.01 dan 51 pertuduhan membabitkan RM8,136,047.51 dihadapi suami­nya Mohd. Khushairi Osman, 54.

Mohammad Fahmi yang juga ADUN Seri Setia turut memaklumkan, kesemua anggota yang dikaitkan dengan gerakan itu sudah selesai menjalani proses pemulihan, namun masih dipantau perkembangan mereka.

Menurutnya, pengurusan ter­tinggi yang berdepan pertuduhan sebelum ini sudah pun me­nerima hukuman sepatutnya.

“Yang dibebaskan itu pun sebab mereka sudah menjalani hukuman yang sepatutnya. Berdasarkan kelakuan yang baik, mengikut peruntukan undang-undang. Bukan soal kesalahan dibuat tetapi tiada hukuman.

”Hukuman tetap ada, mereka menjalani hukuman yang minimum dalam tempoh berkenaan dan mereka dibebaskan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN