KUANTAN: Pernah tercicir daripada sistem pendidikan arus perdana, tiga beradik yang merupakan anak kepada bekas ahli GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) membuktikan masih ada peluang kedua untuk mereka apabila memperoleh keputusan memberangsangkan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
Kejayaan itu hadir hasil peluang kedua yang diberikan melalui program Akademik Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) di bawah kendalian Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip), sekali gus membuka ruang kepada mereka untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT).
Walaupun hanya mula mengikuti persekolahan secara formal pada 2024 dan menduduki peperiksaan SPM tahun lalu, dua daripada mereka memperoleh keputusan memberangsangkan dengan masing-masing meraih dua A, manakala seorang lagi layak menerima sijil SPM.
Muhammad Usamah Hishamudin, 19, memperoleh keputusan 2A, 2B, 2C dan 1D, manakala adiknya Muhammad Ikhwan Husin, 18, pula mencatat keputusan 2A, 2B, 1C dan 1D.
Seorang lagi saudara perempuan mereka yang berlainan ibu, Nur Lukluk, 19, pula hanya gagal satu mata pelajaran sekali gus melayakkannya memperoleh sijil SPM.
Muhammad Usamah berkata, mereka datang dari keluarga besar kerana bapanya berkahwin dua dan mempunyai 24 adik-beradik.
Menceritakan detik memulakan persekolahan di Sekolah Ugama Muip Darul Makmur, Ganchong, Pekan, pada awalnya dia berdepan kesukaran namun dapat mengatasinya.
“Pada awalnya agak susah untuk menyesuaikan diri dengan pembelajaran di sekolah, namun sokongan rakan dan guru membantu meningkatkan semangat untuk terus berusaha.
“Saya sebenarnya ikut semangat kawan-kawan juga. Bila mereka rajin belajar, saya pun jadi bersemangat. Bila sudah hampir peperiksaan, saya sedar kena usaha sendiri dan lebihkan masa belajar pada waktu malam,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.
Muhammad Ikhwan pula berkata, dia sering mendapatkan bantuan rakan-rakan jika tidak memahami pelajaran di dalam kelas.
“Dalam kelas saya agak pendiam. Kalau ada yang tidak faham, biasanya saya bincang dengan kawan-kawan sekelas di asrama,” katanya.
Ketiga-tiga beradik berkenaan antara 10 anak bekas ahli GISBH yang menghuni di Akademi YASA bersama 20 lagi penghuni lain selepas operasi organisasi itu disekat secara berperingkat oleh pihak berkuasa kerajaan melalui Op Global bermula 11 September 2024.
Tindakan tersebut susulan selepas dakwaan eksploitasi kanak-kanak dan ajaran sesat yang dilakukan pihak berkenaan. – UTUSAN










