KAJANG: Representasi yang dikemukakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH), Datuk Nasiruddin Mohd. Ali bersama 21 individu lain berhubung pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang telah diterima oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).
Timbalan Pendakwa Raya, Shafiq Hashim memaklumkan perkara itu kepada Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Seri Latifah Mohd. Tahar pada prosiding sebutan semula kes itu yang dijalankan di Mahkamah Kompleks Penjara Kajang dekat sini.
“Permohonan representasi telah diterima. Oleh itu, pihak pendakwaan akan menawarkan pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 43, Akta Pertubuhan yang mana pertuduhan baharu ini telah dimaklumkan dan dibincangkan bersama pihak pembelaan,” katanya.
Peguam bela, Datuk Rosli Kamaruddin mengesahkan pihak pembelaan telah dimaklumkan mengenai perkembangan tersebut dan mengucapkan terima kasih kepada pihak AGC atas tawaran pertuduhan pilihan tersebut.
Hakim Latifah menetapkan 7 November ini untuk sebutan semula kes dan pertuduhan pilihan yang ditawarkan akan dibacakan kepada setiap tertuduh.
Ketika ditemui selepas prosiding, Rosli berkata, pihaknya telah menghantar representasi pada 26 Mei lalu dan memohon AGC untuk mengkaji semula pertuduhan yang dihadapi anak guam mereka.
“Kami mencadangkan agar pertuduhan dipinda kepada seksyen dan hukuman yang lebih ringan. Kami juga berbincang dengan kesemua tertuduh dan mereka bersetuju untuk menerima pertuduhan pilihan tersebut,” katanya.
Selain Nasiruddin, turut didakwa ialah Hasnan Abd. Hamid (54), Mohammad Adib At-Tarmizi Asa’ari (33), Mohd. Shukri Mohd. Noor (54), Mokhtar Tajuddin (61), Shuhaimi Mohamed (57), Muhammad Afdaluddin Latif (35), Mohamad Sayuti Omar (36), Mohd. Fazil Md. Jasin (58), Mohd. Dhirar Fakhrur Razi (35), Muhammad Zahid Azhar @ Nadzri (52), Abu Ubaidah Ahmad Shukri (35), dan Muhammad Fajrul Islam Khalid (29).
Kesemua mereka tidak dibenarkan sebarang jaminan.
Sementara itu, sembilan lagi tertuduh wanita termasuk isteri Nasiruddin, Azura Md. Yusof (58) ialah Asmat @ Asmanira Muhammad Ramly (45), Mahani Kasim (55), Siti Hajar Ismail (52), Khalilatul-Zalifah Mohammad Jamil (28), Nurul Jannah Idris (29), Nur Jannah Omar (33), Siti Salmiah Ismail (58), dan Hamimah Yakub (73).
Mengikut pertuduhan, mereka didapati menjadi ahli kumpulan jenayah terancang di sebuah tempat di Jalan Desa, di Bandar Country Homes, Rawang di sini antara Oktober 2020 hingga 11 September 2024.
Pertuduhan dikenakan di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan jaminan bagi 13 lelaki tersebut, setelah mendapati mereka gagal memenuhi syarat yang ditetapkan di bawah Seksyen 13(2) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Mahkamah juga mendapati kesihatan pemohon-pemohon berada dalam keadaan baik dan mampu berdikari serta menjalani aktiviti harian seperti biasa. – UTUSAN










