SHAH ALAM: Peguam mewa-kili Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) memohon tempoh masa mencukupi untuk meneliti dokumen setebal kira-kira 10,000 muka surat dikemukakan pihak pendakwaan di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.
Dokumen berkenaan merangkumi penyata bank dan maklumat syarikat daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) berkaitan pertuduhan terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISBH, Mohd. Nasiruddin Mohd. Ali.
Turut didakwa ialah bekas akauntan syarikat itu, Hamimah Yakub, 74, Asmat @ Asmanira Muhamad Ramly, 45, serta suaminya, Md. Khushairi Osman, 55.
Peguam, Datuk Rosli Kamaruddin yang mewakili Mohd. Nasiruddin, Asmat @ Asmanira dan Md. Khushairi berkata, beliau menerima dokumen dalam bentuk cakera padat (CD) dan diarahkan anak guamnya meneliti keseluruhan bahan berkenaan sebelum mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara.
“Kami menerima dokumen dalam bentuk CD. Seperti representasi berkaitan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), ia mengambil masa sehingga sembilan bulan. Saya percaya bagi permohonan kali ini keputusan representasi akan mengambil masa sehingga tiga bulan.
“Justeru, saya memerlukan empat bulan dan mencadangkan tarikh sebutan semula pada 4 atau 5 Mei depan bagi sebutan keputusan representasi. Paling cepat untuk saya teliti dokumen (setebal 10,000 muka surat) adalah tiga minggu dari tarikh hari ini (semalam),” katanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Ashrof Adrin Kamarul memaklumkan dokumen tersebut dikemukakan di bawah Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah dan telah diserahkan kepada semua tertuduh.
Sementara itu, peguam Datuk Mohd. Khair Yakub yang mewakili Hamimah memohon agar jaminan yang sebelum ini dikenakan di Mahkamah Sesyen Kulim dibenarkan untuk diteruskan di mahkamah ini.
Hakim Datin Fatimah Zahari membenarkan permohonan berkenaan dan menetapkan jaminan RM5,000 terhadap Hamimah diteruskan dengan syarat tambahan.
Mahkamah turut menetapkan 5 Mei depan sebagai tarikh pengurusan kes bagi keputusan representasi.
Keempat-empat tertuduh sebelum ini berdepan keseluruhan 331 pertuduhan melibatkan penerimaan dan pemindahan wang berjumlah RM38.16 juta di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan
Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA). – UTUSAN










