MADRID: Hasrat Real Madrid untuk terus menekan pendahulu liga, Barcelona tidak kesampaian apabila tewas 1-0 kepada Getafe dalam aksi La Liga di Santiago Bernabeu, awal pagi tadi.
Gol tunggal perlawanan hadir pada minit ke-39 menerusi penyudah voli menarik Martin Satriano yang memanfaatkan kelalaian benteng tuan rumah.
Jaringan itu sudah cukup untuk menghadiahkan tiga mata berharga buat pelawat dalam perlawanan yang berlangsung penuh disiplin taktikal.
Kekalahan tersebut membuka ruang lebih luas buat Barcelona, yang kini mendahului carta dengan kelebihan empat mata.
Barcelona mengumpul 64 mata, manakala Real kekal di tangga kedua dengan 60 mata.
Walaupun menguasai sebahagian besar permainan dan mengawal tempo sejak wisel permulaan, skuad kendalian Alvaro Arbeloa gagal menterjemahkan dominasi kepada jaringan.
Beberapa peluang yang terhasil tidak berjaya disudahkan dengan kemas, sekali gus memberi ruang kepada Getafe untuk terus bertahan.
Gol pemisah antara kedua-dua pasukan tercipta apabila bola lintang yang gagal dikeluarkan dengan sempurna oleh pertahanan Real jatuh tepat di luar kotak penalti.
Satriano pantas mengambil kesempatan dengan melepaskan rembatan voli kencang untuk memberi kemenangan bermakna kepada Getafe.
Jaringan tersebut merupakan satu-satunya percubaan tepat Getafe sepanjang perlawanan namun sudah cukup untuk mencipta kejutan di hadapan penyokong Real.
Aksi turut dicemari insiden kad merah pada masa kecederaan apabila pemain gantian Real, Franco Mastantuono, dibuang padang selepas membantah keputusan pengadil.
Getafe juga terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Adrian Liso turut diperintah keluar padang.
Kemenangan itu melonjakkan Getafe ke tangga ke-11 dengan 32 mata dan ia menyuntik keyakinan baharu buat mereka dalam mengharungi baki saingan musim ini.-AGENSI










