PETALING JAYA: Kerangka hukuman diyat atau pampasan kepada mangsa dalam kes kemalangan wajar diberi perhatian serius terutama bagi kes-kes kemalangan maut yang melibatkan pemandu di bawah pengaruh alkohol, seperti insiden yang berlaku di Klang semalam.
Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahaya berkata, kes-kes kemalangan maut akibat pemandu mabuk bukan lagi isu terpencil dan telah meragut banyak nyawa, walaupun kerajaan masih menganggap perkara ini tidak perlu ditangani secara menyeluruh.
Katanya, pembayaran diyat atau pampasan adalah salah satu cabang hukuman dalam Islam yang menumpukan kepada kebajikan keluarga mangsa yang terpaksa menanggung beban akibat kemalangan tersebut.
“Sistem diyat diintegrasikan dalam kerangka perundangan sedia ada supaya menjadi sebahagian daripada hukuman yang wajib ditanggung pelaku.
“Hukuman berat terhadap pelaku sahaja tidak mencukupi kerana keluarga mangsa tetap menanggung beban yang lebih besar tanpa mekanisme perlindungan khusus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ahmad, sistem diyat perlu diperhalusi dan dinaiktaraf walaupun mekanisme pembayaran ganti rugi sedia ada di bawah Akta Undang-Undang Sivil 1956 dan Kanun Tatacara Jenayah agar menjadi instrumen hukuman wajib tanpa perlu permohonan dibuat terlebih dahulu.
“Pembayaran diyat juga wajar dimasukkan dalam peruntukan hukuman Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi menjadikannya kewajipan jelas kepada pesalah,” katanya.
Tambah beliau, sistem diyat perlu dibezakan daripada insurans perlindungan kemalangan kerana ia merupakan tanggungjawab langsung pesalah dan pihak berkuasa.
“Mahkamah juga sewajarnya menilai jumlah diyat berdasarkan impak yang ditanggung oleh mangsa atau ahli keluarga selepas kemalangan.
“Pendekatan ini bukan sahaja memberikan keadilan menyeluruh, malah menunjukkan kehebatan sistem jenayah Islam sebagai penyelesaian berkesan kepada permasalahan masyarakat,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, kejadian kira-kira pukul 11.40 pagi itu melibatkan sebuah motosikal dan dua buah kereta.
Kejadian yang turut tular di media sosial itu memaparkan mangsa dirempuh sebuah kereta jenis Honda City dari arah Jalan Raya Barat menghala ke Bandar Klang dalam keadaan laju dan berbahaya.
Individu yang dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah sehingga mengakibatkan seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan di Jalan Raya Barat pada Ahad direman empat hari untuk siasatan lanjut. – UTUSAN










