NRES ucap takziah atas pemergian petugas Jupem

NRES ucap takziah atas pemergian petugas Jupem

ARTHUR JOSEPH KURUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) mengucapkan takziah atas pemergian mendiang Donysius Gebrial Goh, petugas daripada Bahagian Pemetaan Topografi Sarawak, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem).

Menterinya, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, mendiang yang merupakan Pembantu Khidmat Am H1 di Pejabat Topografi Wilayah Miri telah menunjukkan pengorbanan besar demi negara ketika melaksanakan tugasan rasmi penandaan dan pengukuran sempadan darat antarabangsa antara Malaysia dan Brunei Darussalam.

Katanya, susulan laporan terkini pada 25 Mac 2026, mangsa dipercayai ditemui di sungai kira-kira 500 meter dari lokasi terakhir beliau dilaporkan hilang.

“Bagi pihak NRES serta seluruh warga Jupem, saya ingin menzahirkan ucapan takziah yang paling mendalam kepada isteri dan dua anak mendiang yang masing-masing berusia 12 dan 10 tahun.

“Kehilangan ini amat meruntun jiwa, lebih-lebih lagi mendiang sedang berkhidmat dalam operasi mencabar demi kedaulatan tanah air. 

“Pihak kementerian akan memastikan segala bentuk bantuan dan sokongan moral diselaraskan sebaik mungkin bagi membantu keluarga mendiang mengharungi saat sukar ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pihaknya turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan Brunei Darussalam atas kerjasama erat serta komitmen yang tidak berbelah bahagi sepanjang operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.

“Penghargaan khusus ditujukan kepada Pasukan SAR Brunei Darussalam, Tentera Darat Diraja Brunei dan Tentera Gurkha atas bantuan keanggotaan tambahan yang diberikan.

“Saya juga amat menghargai sokongan Tentera Udara Diraja Brunei yang menyediakan pesawat helikopter bagi operasi mengeluarkan jenazah dari kawasan sukar diakses serta bantuan Pasukan Polis Diraja Brunei dan Hospital RIPAS Bandar Seri Begawan dalam proses forensik dan bedah siasat,” katanya.

Tambah beliau, kerjasama antara kedua-dua negara kini tertumpu kepada proses pengecaman dan dokumentasi sebelum jenazah dibawa pulang ke Malaysia selepas semua prosedur pentadbiran di Brunei Darussalam selesai.

“Segala jasa dan khidmat bakti mendiang Donysius akan sentiasa dikenang oleh negara dan semoga keluarga mendiang diberikan kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi ujian ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN