Zoo Taiping didesak mula rundingan bawa pulang Dara, Amoi dan Kelat

Zoo Taiping didesak mula rundingan bawa pulang Dara, Amoi dan Kelat

ARTHUR JOSEPH KURUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menggesa rundingan segera dimulakan antara Zoo Taiping dan Night Safari dengan Tennoji Zoo, Osaka, Jepun bagi membawa pulang tiga gajah Malaysia iaitu Dara, Amoi dan Kelat dari Jepun.

Menterinya, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, tindakan itu perlu segera dijalankan sekiranya pelaksanaan perjanjian sedia ada didapati tidak lagi selari dengan prinsip konservasi dan kebajikan hidupan liar.

“Sekiranya pelaksanaan perjanjian ini didapati tidak lagi selari dengan prinsip konservasi kebajikan hidupan liar serta sensitiviti semasa, maka menjadi keperluan untuk mengembalikan ketiga-tiga gajah tersebut ke habitat asal.

“Perkara ini perlu dipertimbangkan secara serius dan segera antara kedua-dua pihak yang menandatangani perjanjian tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Tegasnya, urusan pemindahan ketiga-tiga gajah berkenaan dimeterai secara langsung antara Zoo Taiping dan Night Safari dengan Zoo Tennoji, Osaka menerusi kaedah perniagaan ke perniagaan (B2B) dan tidak melibatkan kementerian.

Jelasnya, pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan Duta Besar Jepun, Noriyuki Shikata serta memanggil pengurusan Zoo Taiping dan Night Safari bagi mendapatkan penjelasan lanjut serta memberi cadangan berhubung program konservasi tersebut.

Bagaimanapun, katanya, beberapa cadangan dan permintaan yang dikemukakan kementerian sebelum ini masih belum dipenuhi oleh pihak terlibat.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya bersedia untuk meneliti serta mencari sumber dana yang bersesuaian bagi menampung kos membawa balik gajah termasuk mempertimbangkan pelbagai mekanisme pembiayaan yang tidak membebankan, namun tetap efektif dalam memastikan operasi penyelamatan dapat dilaksanakan dengan lancar.

Terdahulu, sekumpulan aktivis dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa kerajaan supaya segera membawa pulang gajah milik negara iaitu Dara, Amoi dan Kelat yang dihantar ke Zoo Tennoji di Osaka, Jepun kerana didakwa mengalami penderitaan dan tidak sesuai dengan persekitaran di sana. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN