SIBU: Tiga kanak-kanak ditemukan lemas di kolam kumbahan berhampiran pangsapuri Sibu Jaya di sini, hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 4.03 petang.
Katanya, sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Jaya diarah ke lokasi sejurus menerima panggilan berkenaan.
“Setibanya di lokasi kejadian didapati benar tiga orang mangsa kanak-kanak iaitu, dua perempuan dan seorang lelaki, terjatuh ke dalam kolam.
“Namun ketika bomba tiba, ketiga-tiganya sudah dibawa naik ke tebing kolam oleh orang awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, ketiga-tiga mangsa tidak sedarkan diri dan sehingga pukul 5 petang dan pasukan bomba masih menunggu pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk membuat pengesahan.
“Maklumat punca kejadian serta identiti termasuk umur kesemua mangsa juga masih belum diperoleh,” katanya. – UTUSAN










