Kuala Lumpur: Pemberian insentif kemenangan menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) menjadi pemacu prestasi buat atlet negara menjelang Sukan Asia-Aichi Nagoya pada September tahun ini.
Menteri Belia dan Sukan (KBS), Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, pemberian insentif berkenaan untuk menambahkan semangat sempena temasya akan datang, sekali gus melepasi sasaran pingat.
Katanya, barisan atlet negara perlu terus mengekalkan konsisten serta disiplin tinggi demi membawa nama negara di pentas Asia.
“Kejayaan yang diraikan hasil pencapaian pada temasya lalu perlu dijadikan pemangkin semangat, namun atlet diingatkan supaya tidak terlalu hanyut dengan kejayaan lampau dan segera mengalihkan fokus kepada misi seterusnya.
“Kita berharap atlet negara akan terus bersemangat, kekal fokus dan menjadi kebanggaan Malaysia, insya-Allah,” katanya ketika ditemui di Majlis Penyampaian SHAKAM, hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri KBS, Mordi Bimol, Ketua Setiausaha (KSU) KBS, Dr K Nagulendran, dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin.
Terdahulu di Sukan Asia Hangzhou 2023, Malaysia berjaya meraih enam pingat emas, lapan perak dan 18 gangsa menjadikan jumlah keseluruhan 32 pingat dengan penyertaan seramai 289 atlet dalam 22 daripada 40 jenis sukan.
Pencapaian itu jelas melepasi sasaran yang diletakkan oleh KBS untuk meraih 27 pingat tanpa mengira warna.
Ditanya tentang pemberian SHAKAM, beliau memaklumkan kerajaan memperuntukkan RM4.42 juta kepada atlet negara yang beraksi di Sukan SEA Thailand dan Sukan Para ASEAN sebagai pengiktirafan terhadap pengorbanan serta usaha keras mereka mengharumkan nama negara.
“Daripada jumlah itu, RM2.6 juta diperuntukkan kepada atlet normal manakala RM1.475 juta kepada atlet para sebagai cara kerajaan menghargai mereka supaya terus bersemangat dan berasa dihargai,” katanya. – UTUSAN










