KUALA LUMPUR: Kedudukan Malaysia dalam sukan bola tampar di peringkat Asia masih belum dapat ditentukan secara rasmi berikutan penyertaan terhad negara dalam kejohanan dan pertandingan bertaraf antarabangsa.
Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, Malaysia berdepan beberapa kekangan dan permasalahan yang memerlukan penyelesaian bagi membolehkan negara mempunyai kedudukan di peringkat Asia dalam sukan itu.
Beliau berkata, permasalahan pertama adalah disebabkan pendedahan yang kurang terhadap pertandingan berintensiti tinggi.
“Yang kedua adalah tahap pertandingan domestik yang perlu diperbanyakkan dan ketiga sistem pembangunan dan liga profesional negara pesaing adalah lebih matang berbanding dengan kita.
“Faktor fizikal juga kena ambil kira kerana ia adalah satu aspek penting untuk memenangi kejohanan bola tampar.
“Paling penting sebenarnya adalah pendedahan, sebab itu kita senaraikan bola tampar dalam Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) dan Sukan Malaysia (Sukma) 2026 dan Sukan SEA 2027,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Zakri Hassan (PN-Kangar) yang meminta menyatakan kedudukan dan sasaran masa depan pasukan bola tampar negara di peringkat Asia dan dunia.
Tambah Mohammed Taufiq, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama Persatuan Bola Tampar Malaysia sedang melaksanakan beberapa pelan tindakan yang penting dan perlu diikuti oleh persatuan bagi mengangkat sukan itu
“Antaranya memperkasakan kerjasama yang erat bersama Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN), Kementerian Pendidikan dan Persatuan Bola Tampar dilaksanakan secara bersepadu.
“Yang kedua adalah memperbanyakkan lagi kejohanan yang kompetitif dalam negara supaya atlet boleh memperoleh pengalaman pertandingan dan konsistensi prestasi jangka panjang.
Katanya, kementerian turut meningkatkan kualiti kejurulatihan dan pegawai teknikal melalui pendedahan kepada latihan moden dan kerjasama teknikal yang lebih maju dalam sukan bola tampar di Asia. – UTUSAN










