PETALING JAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersedia untuk mengadakan perbincangan lanjut berhubung penganjuran semula Kejohanan Golf Terbuka Malaysia dalam usaha merancakkan sukan berprestij itu di negara ini.
Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, KBS mengambil pendekatan bersikap terbuka untuk menilai segala aspek sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.
“Ya, saya sedar berkenaan perkara tersebut dan kita terbuka untuk berbincang. Kita akan lihat apakah kebaikan dan keburukan tentang penganjuran tersebut dan kita sedia untuk mengadakan perbincangan lebih lanjut.
“Insya-Allah kita akan mengumumkan jika sekiranya ada sebarang perkembangan terbaharu berkenaan dengan perkara ini,” katanya.
Kejohanan tersebut mula dianjurkan pada 1962 sebagai Terbuka Malaya dan sejak itu tidak pernah gagal diadakan sehingga 2015. Begitu pun, Terbuka Malaysia kembali diadakan pada 2020.
Antara nama besar yang pernah memenangi kejohanan tersebut adalah Vijay Singh, Lee Westwood, Matteo Manassero, Louis Oosthuizen, Harold Henning, Jeff Maggert, Glen Day, Steve Flesch, Arjun Atwal dan Noh Seung-yul.
Kali terakhir Terbuka Malaysia dianjurkan pada 2024 yang menyaksikan pemain Sepanyol, David Puig muncul juara.-UTUSAN










