SEPANG: Kerajaan akan menubuhkan dua jawatankuasa khas bagi menyelaras persiapan penganjuran Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Bahrain yang dijadual berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari 2 hingga 4 Oktober ini.
Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, langkah itu diambil bagi memastikan segala aspek penganjuran dapat dilaksanakan secara teratur, lancar dan mengikut garis masa yang telah ditetapkan.
Menurut beliau, dua jawatankuasa berkenaan terdiri daripada jawatankuasa induk yang akan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) serta jawatankuasa teknikal di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
“Jawatankuasa induk akan dipengerusikan oleh KSN dengan keanggotaan melibatkan KSU setiap kementerian, KP, pihak keselamatan dan lain-lain agensi berkaitan.
“Di peringkat KBS pula, satu jawatankuasa teknikal akan ditubuhkan dan saya sendiri akan memantau segala perancangan yang dilaksanakan,” katanya selepas meninjau keadaan trek SIC di sini hari ini.
Tambah beliau, SIC juga akan mengemukakan laporan perkembangan secara berkala kepada jawatankuasa teknikal KBS bagi memastikan setiap aspek persiapan dapat dipantau dengan teliti sehingga hari perlumbaan.
Dalam perkembangan sama, Taufiq memaklumkan pemeriksaan awal oleh pasukan teknikal Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) minggu lalu memberikan gambaran positif apabila tiada sebarang isu kritikal dikenal pasti pada litar berkenaan.
Katanya, hanya beberapa kerja penambahbaikan dan naik taraf diperlukan bagi memenuhi spesifikasi ditetapkan FIA sebelum perlumbaan berlangsung.
Beliau turut mengesahkan Litar Antarabangsa Sepang akan ditutup kepada orang awam bermula 7 September bagi memberi laluan kepada kerja penyelenggaraan, naik taraf serta ujian akhir, sekali gus memastikan semua kemudahan berada pada tahap terbaik menjelang F1 GP Bahrain.-UTUSAN










