Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Kasan (SPARKS), Tangkak, Johor berjaya mengadakan program Fun Run Sparks 2026 dalam suasana meriah, baru-baru ini.
Guru Besarnya, Rosie Rafidah Rahmat berkata, program berkenaan dianjurkan sempena kejohanan merentas desa yang menjadi acara tahunan peringkat sekolah.
Katanya, program itu disertai warga sekolah terdiri daripada kategori prasekolah, bawah 8 tahun lelaki & Perempuan, bawah 10 Tahun lelaki & perempuan dan bawah 12 Tahun lelaki & perempuan.
”Lebih menarik acara ini turut disertai ibu bapa murid yang bersemangat mengiringi anak-anak mereka berlari.
“Semoga aktiviti ini dapat memupuk semangat kesukanan dan gaya hidup sihat dalam kalangan murid di samping mengeratkan hubungan silaturahim antara pihak sekolah dengan masyarakat,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian pingat kepada peserta larian di Dewan Inspirasi sekolah berkenaan.
Turut hadir, Guru Penolong Kanan (GPK) Pentadbiran, Ishak Daros; GPK Kokurikulum, Syawaliza Abdullah dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Zamri Ahmad.
Sementara itu, Zamri turut mengucapkan terima kasih kepada Ahli Jawatankuasa PIBG dan ibu bapa yang turut serta memeriahkan program larian itu bersama anak-anak mereka.
”Hubungan erat antara pihak sekolah dan masyarakat perlu bagi mewujudkan jalinan ukhuwah yang padu demi kemenjadian anak-anak SPARKS kesayangan kami,” katanya.-UTUSAN










