Empat bahagian Bersatu masih wujud - Azmin

Empat bahagian Bersatu masih wujud – Azmin

MOHAMED AZMIN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Empat bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) iaitu Larut, Lembah Pantai, Kepala Batas dan Tanjong masih wujud dan belum terbubar susulan peletakan jawatan beberapa Ahli Jawatankuasanya seperti dilaporkan sebelum ini.

Sebaliknya, Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Perlembagaan Bersatu tidak memperuntukkan kuasa kepada mana-mana ahli parti termasuk ketua bahagian untuk membubarkan bahagian.

“Bersatu terima laporan bahawa beberapa pautan di media sosial dan kenyataan media melaporkan Bersatu Bahagian Larut, Lembah Pantai, Kepala Batas dan Tanjong dibubarkan ekoran peletakan jawatan beberapa orang Ahli Jawatankuasa Bahagian.

“Namun dakwaan ini adalah tidak berasas dan tidak berperlembagaan serta bercanggah dengan beberapa peruntukan di dalam Perlembagaan dan Peraturan Persidangan Bersatu. Empat bahagian masih wujud mengikut Perlembagaan Bersatu dan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) akan mengambil tindakan selanjutnya berdasarkan peruntukan Perlembagaan yang sedia ada,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan bahagian Bersatu terbubar serta-merta termasuk di Larut dan Lembah Pantai susulan penyingkiran beberapa pemimpin kanan parti itu.

Tindakan pembubaran itu didakwa dibuat disebabkan rasa hilang percaya pemimpin bahagian terhadap kepemimpinan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin berkata, dakwaan pembubaran itu adalah tindakan terdesak segelintir individu yang berniat jahat untuk merosakkan imej dan maruah parti serta menggugat kestabilan parti.

Katanya, mesyuarat MPT pada Sabtu lalu mengambil langkah proaktif dengan memberi mandat kepada Badan Pimpinan Negeri untuk memantau setiap bahagian dan mengenal pasti langkah drastik untuk memulihkan bahagian yang bermasalah.

“Ia adalah sebagai usaha berterusan untuk memperkukuhkan Bersatu di semua peringkat.

“Saya yakin Bersatu hari ini semakin matang, utuh dan akan melangkah ke hadapan dengan keyakinan baru untuk membawa agenda perjuangan rakyat Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN