SHAH ALAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dijangka mengadakan pertemuan dengan kerajaan negeri dalam masa terdekat bagi menandatangani perjanjian kerjasama.
Satu sumber dalam parti itu mendedahkan kepada Utusan Malaysia berkata, kerjasama tersebut melibatkan keseluruhan 11 ADUN daripada parti berkenaan yang selepas ini akan dianggap sebagai penyokong kerajaan negeri.
“Justeru akan ada pertemuan tersebut dijangka berlaku di Wisma Dewan Negeri yang turut melibatkan agensi-agensi kerajaan negeri,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, satu sumber lain turut memaklumkan tindakan tersebut tidak akan mengubah struktur kerajaan negeri atau barisan exco sedia ada, sebaliknya kekal sebagai pembangkang namun menyokong dasar dan program kerajaan negeri.
“Namun, matlamatnya adalah untuk menyelesaikan masalah dihadapi rakyat. ADUN Bersatu masih kekal sebagai pembangkang yang mana ketuanya masih Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Bersatu-Hulu Klang).
“Cuma, mereka akan diberikan hak seperti mana ADUN di pihak kerajaan. Itu antara permintaan daripada Bersatu. Semuanya adalah untuk kepentingan rakyat,” jelasnya.
Bagaimanapun sumber itu menegaskan sokongan atau kerjasama tersebut bukan bermaksud parti berkenaan akan menyertai gabungan Pakatan Harapan (PH).
Utusan Malaysia pada bulan lalu melaporkan Bersatu kini mencari hala tuju dan jajaran politik baharu termasuk kemungkinan bersama Pakatan Harapan (PH) selepas kedudukannya dalam PN tersisih.
Menurut sumber pimpinan Bersatu, perkara itu dikatakan mendapat ‘restu’ daripada daripada pimpinan tertinggi parti malah cadangan jajaran itu juga di bawah pengetahuan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Jelasnya, rundingan tersebut dimulakan di Selangor di mana ia akan menjadi negeri pertama bagi menjayakan kerjasama berkenaan.
Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari ketika ditemui enggan mengulas sebarang perkembangan politik.
Selain Bersatu, pembangkang Selangor kini terdiri daripada 10 ADUN dari Pas yang sebelum ini bersama dengan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor 2023.
Bagaimanapun, pada Mac 2024, seorang daripada 22 ADUN pembangkang iaitu Datuk Abdul Rashid Asari (Selat Klang) mengisytiharkan sokongan kepada Menteri Besar sebelum dipecat daripada jawatan Pengerusi Bersatu Selangor yang digantikan oleh Mohamed Azmin.











