Ubat generik selamat, setara ubat asal - Dzulkefly

Ubat generik selamat, setara ubat asal – Dzulkefly

DZULKEFLY Ahmad
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Rakyat diingatkan supaya tidak meragui penggunaan ubat generik kerana ia setara dengan ubat asal atau ubat inovatif, malah mampu menjimatkan kos tanpa menjejaskan keselamatan dan keberkesanan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, Dasar Ubat Generik dalam sektor kesihatan kini menggalakkan penggunaan ubat generik dalam sektor kesihatan awam dan swasta bagi memastikan rakyat mendapat akses kepada ubat-ubatan berkualiti pada harga berpatutan.

Menurut beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sering menekankan kepentingan penjimatan dalam perbelanjaan kerajaan khususnya dalam sektor kesihatan dan perkara itu telah diterjemahkan melalui pelaksanaan dasar berkenaan sejak penggal kedua pentadbirannya.

“Dalam tempoh dua tahun lalu, kita melaksanakan apa yang disebut sebagai ‘generic first policy’ iaitu apabila terdapat pilihan ubat generik, ia akan dijadikan pilihan utama.

“Kerajaan berjaya menjimatkan lebih RM900 juta dalam tempoh dua tahun lalu menerusi pelaksanaan dasar ini dalam sektor kesihatan,” katanya selepas menghadiri majlis perasmian bangunan baharu Hospital Seberang Jaya yang disempurnakan Perdana Menteri, hari ini.

Dzulkefly berkata, selaras dengan pelaksanaan dasar tersebut komuniti klinikal termasuk pakar dan pengamal perubatan turut disaran mengutamakan preskripsi ubat generik kepada pesakit.

Beliau berkata, ubat generik telah melalui pelbagai kajian ketat termasuk Kajian Bioekuivalens bagi membuktikan persamaannya dengan ubat asal dari segi keselamatan dan keberkesanan.

”Bukan kerana ubat generik itu murah, ia tidak selamat atau tidak berkesan. Ini adalah satu anjakan minda yang perlu difahami rakyat. Ia tidak mengurangkan aspek keselamatan atau keberkesanan apabila dipreskripsikan oleh pakar dan pengamal perubatan,” katanya.

Mengulas isu kelewatan projek di bawah Kementerian Kesihatan (KKM), Dzulkefly berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam memantau pelaksanaan khususnya projek yang dikenal pasti sebagai projek sakit.

Menurut beliau, mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan dipengerusikannya sendiri setiap dua hingga tiga bulan bagi meneliti status semua projek, termasuk tahap kemajuan, permasalahan serta pelaporan kepada Kabinet.

“Kita bekerjasama rapat dengan JKR sama ada di peringkat Pusat atau negeri. JKR adalah pelaksana manakala KKM sebagai klien memberikan syor dan pertimbangan bagi membolehkan keputusan dibuat,” katanya.

Dzulkefly berkata, terdapat beberapa projek hospital yang mengalami kelewatan serius termasuk di Sabah dan Sarawak dengan Hospital Putrajaya dan Hospital Papar masing-masing mengambil masa melebihi 10 tahun untuk disiapkan. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×