PETALING JAYA: Bekalan ubat-ubatan asli dan generik di hospital swasta seluruh negara kekal mencukupi meskipun konflik berterusan di Asia Barat mencetuskan kebimbangan terhadap rantaian bekalan global.
Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) berkata, setakat ini hospital swasta belum berdepan kesan langsung daripada konflik berkenaan kerana bekalan daripada pengeluar masih stabil dan terkawal.
Menurutnya, hospital ahlinya turut mempunyai pelan kontingensi sekiranya berlaku kawalan eksport atau gangguan pengangkutan yang boleh menjejaskan bekalan ubat pada masa hadapan.
“Persediaan ini merangkumi pengurusan inventori yang dipertingkatkan, koordinasi bersama pengeluar dan pengedar serta protokol keutamaan untuk ubat-ubatan kritikal.
“Pasukan farmasi juga bersedia menyediakan alternatif yang sesuai secara klinikal, jika perlu, bagi memastikan kesinambungan penjagaan,” katanya dalam kenyataan.
APHM turut menggesa pesakit supaya meneruskan rawatan seperti biasa dan tidak menyimpan stok ubat secara berlebihan.
Katanya, pesakit juga disaran mendapatkan nasihat penyedia penjagaan kesihatan atau ahli farmasi sekiranya mempunyai kebimbangan berkaitan pertukaran ubat.
“Hospital swasta akan memaklumkan dengan segera sekiranya situasi bekalan berubah,” katanya.
Pada Isnin lalu, Menteri Ekonomi, Akmal Nasir berkata, stok ubat-ubatan dan peranti perubatan negara masih berada pada tahap stabil walaupun sebahagian daripadanya diklasifikasikan sebagai berisiko tinggi.
Beliau berkata, sebanyak 16.8 peratus barangan ubat dikenal pasti berisiko tinggi dan memerlukan pemantauan berterusan, manakala 11.3 peratus lagi berada pada tahap risiko sederhana.
“Sebanyak 72 peratus bekalan ubat pula masih tersedia secara meluas,” katanya.
Bagi peranti perubatan, katanya, 81 peratus berada pada risiko rendah mengalami kekurangan bekalan, 13 peratus risiko sederhana dan empat peratus berisiko tinggi.
Kerajaan sebelum ini memperkenalkan beberapa langkah mitigasi sejak konflik tercetus termasuk mengukuhkan stok penimbal bagi ubat berisiko tinggi, mengaktifkan laluan akses khas untuk import kritikal serta memeterai perjanjian bekalan dengan China, Jepun dan Uzbekistan bagi mempelbagaikan sumber bekalan. – UTUSAN









