PETALING JAYA: Penggunaan ubat generik atau ubat yang dijenamakan semula disaran sebagai penyelesaian lebih mampu milik tanpa menjejaskan kualiti rawatan dalam usaha membendung kos rawatan kesihatan yang kian meningkat sejak kebelakangan ini.
Bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Lee Boon Chye berkata, negara perlu beralih kepada penggunaan ubat generik terutama yang dihasilkan di Malaysia sebagai langkah mengawal kenaikan kos perubatan.
Bagaimanapun, harga ubat generik juga terkesan kerana negara masih bergantung kepada bahan mentah yang diimport dari luar negara.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan mempertimbangkan kaedah pembelian secara pukal untuk mendapatkan ubat pada harga yang lebih rendah.
“Walaupun hospital kecil mungkin menghadapi kekangan untuk melaksanakannya, hospital swasta besar seperti KPJ dan Hospital Pantai memiliki kuasa beli yang lebih kukuh untuk melaksanakan langkah ini,
“Ubat generik mengandungi bahan aktif yang sama seperti ubat asal, namun dihasilkan tanpa perlindungan paten.
“Ia perlu melalui proses inovasi semula yang membolehkannya ditawarkan pada kos lebih rendah, sambil mengekalkan keberkesanan dan fungsi yang setara,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Boon Chye berkata, kenaikan harga ubat di Malaysia berlaku hampir setiap tahun dengan kadar peningkatan sekitar tiga hingga lapan peratus, iaitu lebih tinggi berbanding kadar inflasi semasa.
Kata beliau, dalam tempoh tiga hingga empat tahun kebelakangan ini, kenaikan tersebut menjadi semakin ketara dan boleh mencecah dua digit dalam peratusan.
“Kenaikan ini berpunca daripada beberapa faktor, antaranya peningkatan harga di peringkat global, gangguan rantaian bekalan semasa pandemik Covid-19, kenaikan kos bahan mentah untuk penghasilan ubat serta kos import yang lebih tinggi akibat kejatuhan nilai ringgit.
“Kos rawatan yang rendah di sektor kerajaan termasuk bayaran konsultasi antara satu hingga lima ringgit turut menyukarkan negara menampung kenaikan harga ubat secara keseluruhan,” katanya.
Sementara itu, Pakar Kesihatan Komuniti, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, ubat jenama merujuk kepada ubat yang dipatenkan oleh syarikat farmaseutikal dan kebiasaannya dijual pada harga yang lebih tinggi.
Katanya, tempoh paten bagi ubat ini biasanya tahan antara 15 hingga 20 tahun sebelum tarikh luput yang membolehkan pengeluaran ubat generik dilakukan.
“Dari segi keberkesanan dan keselamatan, kedua-dua jenis ubat generik dan ubat paten adalah setara. Ini kerana ubat generik diwajibkan memiliki bioekivalen yang sama dengan ubat original, termasuk kesan klinikal, hasil, keberkesanan dan tahap keselamatan yang setanding.
“Perbezaannya terletak pada harga yang mana ubat generik biasanya hampir 40 peratus lebih murah berbanding ubat paten.
“Penggunaan ubat generik sangat digalakkan kerana ia dapat mengurangkan kos rawatan secara signifikan. Namun, masih terdapat pakar perubatan yang enggan menggunakan ubat generik kerana beranggapan ia kurang berkesan,” katanya.
Tambah beliau, penggunaan ubat generik membantu mengurangkan kos rawatan pesakit kerana harganya yang lebih rendah.
“Ubat generik juga lebih mudah diperoleh dan boleh dibeli secara pukal, sekali gus menurunkan kos keseluruhan rawatan. Ini juga membolehkan bekalan ubat diagihkan kepada lebih ramai pesakit dengan kos yang lebih berpatutan,” katanya.









