Muktamar: Pas lulus usul penyatuan ummah

Muktamar: Pas lulus usul penyatuan ummah

SEBAHAGIAN perwakilan Pas yang hadir sesi perbahasan Muktamar Pas Kali Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan. - UTUSAN/MUSATQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Muktamar Pas Kali Ke-72 hari ini sebulat suara meluluskan usul penyatuan ummah bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), sekali gus memberi isyarat jelas parti itu mahu memperkukuh kerjasama politik berteraskan kepentingan Me­layu dan Islam. 

Usul dibawa wakil Dewan Ulama Pas, Zulqarnain Hassan itu diterima selepas dibahas dan disokong perwakilan Pas Pahang. Nasaruddin Hassan.

Nasaruddin dalam ucapannya itu menggesa seluruh pendukung Pas memastikan tiada lagi ‘batu api’ atau ‘tangan-tangan ghaib’ yang menggagalkan agenda penyatuan ummah.

Katanya, usaha memperkasa penyatuan ummah perlu dilakukan bersungguh-sungguh selepas agenda itu beberapa kali diusulkan sebelum ini namun menemukan kegagalan.

“Kita sudah beberapa kali mengusulkan penyatuan ini dan berapa kali kita menemukan kegagalan. Harap kali ini betul-betul jadi dan kita buat sampai jadi,” katanya.

Nasaruddin berkata, penyatuan ummah bukan bermaksud Pas mengorbankan atau menggadaikan prinsip perjuangan, sebaliknya menghimpunkan kekuatan umat Islam atas perkara yang dipersetujui bersama.

Selain itu, usul penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi penyiasatan ‘Mafia Korporat’ (Pemuda Pas Pusat); reformasi masa kerja dan tenaga kerja kesihatan (Dewan Muslimat Pas Pusat); memperkasa rantaian pengeluaran padi beras negara (Jawatankuasa Pas Pusat) turut diterima dengan bahas secara sebulat suara oleh seluruh perwakilan.

Usul memperkukuh kuasa kerajaan negeri membendung aktiviti perjudian dan mendesak kerajaan persekutuan menghentikan pemberian lesen judi (Pas Baling); mendesak kerajaan mengambil langkah menyeluruh menangani kenaikan kos sara hidup (Pas Kawasan Batu); pemerkasaan Ameerah sebagai sayap penting parti (Pas Kawasan Parit dan Pas Kawasan Bangi); diterima tanpa bahas.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Usul Muktamar Pas Kali Ke-72, Ahmad Fadhli Shaari berkata, sebanyak 33 usul diterima.

Katanya, daripada jumlah itu tiga diterima tanpa bahas manakala empat dibahas dan kemudian diluluskan.

“26 usul ditolak dan dirujuk kepada pihak berkaitan,” ujarnya.

Terdahulu semalam, Utusan Malaysia melaporkan, Pas menjadikan penyatuan ­ummah seba­gai antara agenda utama menghadapi PRU16, sekali gus memberi isyarat jelas parti itu mahu memperkukuh kerjasama politik berteraskan kepentingan Me­layu dan Islam. 

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, pihaknya wajib mengambil langkah politik yang berhikmah bagi menyatukan Mela­yu Islam dan bukan Islam yang tidak ekstrem sebagai sebuah masyarakat majmuk di Malaysia. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×