PARLIMEN: 350 kelas prasekolah tahun ini

PARLIMEN: 350 kelas prasekolah tahun ini

WONG KAH WOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan akan mewujudkan sebanyak 350 kelas prasekolah di seluruh negara pada tahun ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, sebanyak 150 kelas prasekolah telah diwujudkan pada tahun lalu yang membabitkan pelbagai jenis institusi pendidikan di bawah kementerian itu.

Katanya, sehingga kini terdapat seramai 214,122 murid membabitkan 10,514 kelas prasekolah Kementerian Pendidikan yang kini beroperasi di 6,469 sekolah di seluruh negara.

“Kementerian Pendidikan melakukan peluasan prasekolah pada setiap tahun, khususnya di kawasan yang mempunyai permintaan tinggi.

“Peluasan kelas prasekolah bukan sahaja dilaksanakan di sekolah rendah, malah turut diperluaskan ke institusi pendidikan lain seperti sekolah menengah, kolej vokasional, kolej matrikulasi dan institut pendidikan guru,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (BN-Sembrong) berhubung kecukupan akses pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti, khususnya bagi keluarga berpendapatan rendah.

Kah Woh berkata, langkah berkenaan bertujuan memberi peluang kepada lebih ramai kanak-kanak khususnya daripada golongan berpendapatan rendah, mengikuti pendidikan prasekolah di bawah KPM.

“KPM turut meneruskan usaha membina lebih banyak kelas prasekolah baharu di bawah Rancangan Malaysia Lima Tahun (RMLT) tertakluk kepada kemampuan kewangan kerajaan sedia ada.

“Sebanyak 11 projek prasekolah baharu telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), Rolling Plan 1 (RP1).

“Setakat ini terdapat 87 projek sambungan prasekolah dengan perincian 48 projek dalam fasa prabina, 22 dalam fasa pembinaan dan 17 telah siap melibatkan perbelanjaan keseluruhan sebanyak RM338.41 juta,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN