Mukadimah
Industri halal sentiasa berkembang pesat dianggarkan bernilai trilion dolar dengan Malaysia sahaja dilaporkan berjumlah hampir RM150 bilion setakat awal tahun 2025.
Malaysia merupakan negara terkehadapan dalam industri ini, dengan sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mendapat pengiktirafan di peringkat dunia.
Perkembangan industri antara lain dipacu oleh syarikat seperti Faser & Neave Holdings Berhad (F&N) yang terlibat secara langsung dalam industri sejak puluhan tahun.
Dengan komitmen padunya, syarikat pengeluar makanan itu turut sedia membantu pemain lain termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terlibat sama mengembangkan lagi industri halal negara, seterusnya merealisasikan hasrat menjadikan Malaysia hab halal dunia.
Dalam temubual bersama Utusan Malaysia, Ketua Hal Ehwal Halal F&N, Akhtar Husseini Mohd. Nor berkongsi pengalaman, pandangan dan pelan syarikat seterusnya dalam memacu industri halal yang semakin berkembang pesat.
UTUSAN: Boleh kongsikan pandangan tuan mengenai industri halal secara umum?
AKHTAR: Industri halal sekarang satu industri yang pesat membangun. Buat masa ini kesedaran halal bukan hanya tertumpu kepada pengguna muslim, pengguna nonmuslim juga menyedari tentang kepentingan dan kelebihan halal. Ini kerana, halal ia bukan sahaja bebas daripada benda haram tetapi juga dari segi kualiti dan keselamatan (terjamin). Maksudnya, barangan halal bebas daripada najis dan sebagainya, itu memberi kebaikan kepada pengguna.
UTUSAN: Penekanan yang F&N berikan kepada konsep halal?
Kami ada pensijilan halal bagi semua produk dan kilang kami. Bagi kami, pensijilan halal bukan sekadar pematuhan terhadap peraturan dan undang-undang, tetapi ia satu tanggungjawab yang kami laksanakan demi pengguna-pengguna kami.
Falsafah kami mengenai halal adalah melangkaui piawaian halal. Contohnya, bagi setiap aktiviti kami, bagi halal mesti ada audit, ada latihan dan ia mesti lebih tinggi daripada yang ditentukan oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Ini kerana, kami percaya bahawa dengan melangkaui pensijilan halal ini, kami dapat memberi nilai dan prestij kepada halal ini. Dan kami merasakan bahawa apabila kami melangkaui pensijilan halal ini, ia adalah satu strategi syarikat di mana ia dapat memastikan pertumbuhan dan kepercayaan pengguna dan juga kejayaan jangka panjang.
UTUSAN: Bila mula mendapat sijil halal?
Kami dapat pensijilan halal yang pertama pada 2004.
UTUSAN: Bagaimana dengan proses dan adakah sukar untuk mematuhi standard pensijilan halal?
Saya rasa pada mulanya, masa pensijilan halal dimulakan di Malaysia, memang terdapat pelbagai rintangan yang perlu dihadapi, kerana pada masa itu sistem atau keperluan-keperluan tidak begitu jelas. Terdapat ‘red area,’ tetapi kami tekun dalam menepati piawaian pada awalnya sehingga kini.
Apa yang kami perhatikan adalah pembangunan sistem halal terutama di Malaysia, amat pesat. Jadi ia mengambil kira keadaan semasa dan keadaan dunia dan kerana itulah kami yakin dengan pensijilan halal di Malaysia.
UTUSAN: Selepas mendapat pensijilan halal 2004, sejauh mana ia membantu pertumbuhan perniagaan F&N?
Agak sukar untuk saya nyatakan sejauh mana ia membantu kerana saya tidak ada fakta dari segi jualan dan sebagainya.
Tapi senangnya beginilah, dengan perkembangan tentang pendidikan halal , maksudnya semakin ramai faham apa itu halal dan apa yang diperlukan untuk dapat sijil halal, pengguna semakin yakin dengan produk-produk yang mempunyai logo halal.
Agak sukar untuk saya nyatakan bagaimana impak kepada syarikat dari segi pertumbuhan, tetapi kalau kita ambil contoh, masalah yang dihadapi oleh pengilang lain, contoh syarikat coklat, bagaimana ia beri impak kepada penjualan, dan dia punya reputasi. Bagi saya itu contoh terbaik yang menunjukkan impak halal kepada pengguna.
UTUSAN: Antara fokus kerajaan sekarang hendak menjadikan Malaysia hab halal. Sebagai antara pemain utama dalam industri, apa pelan F&N seterusnya?
Antara aktiviti kami adalah bagi mengembangkan lagi ekosistem halal di Malaysia. Kami bekerjasama dengan Jakim dan HDC, dan pemain-pemain kecil seperti PKS. Contoh, dengan HDC kami ada program seperti ‘halal sourcing touch it programme’, di mana kami membantu pemain-pemain kecil, bagi mereka khidmat nasihat dan bimbingan bagaimana nak memperkukuh sistem halal mereka. Bukan sahaja sistem halal, malah memperkukuhkan amalan baik dari segi pengilangan, pembikinan dan kebersihan.
Dengan Jakim pula kami banyak melakukan program CSR, contoh program maal hijrah, juga dengan jabatan agama Islam negeri lain, contoh hal ehwal agama Islam Negeri Sembilan, Pulau Pinang di mana beradanya kilang-kilang kami. Jadi, apa yang kami tekankan bukan sahaja pensijilan tetapi jug pematuhan pendidikan kepada pengusaha baharu dan juga pendidikan kepada orang muda. Contoh, kami ada ‘halal smart camp’ dengan sekolah rendah, pendedahan halal di peringkat awal.
Jadi, bagi kami bergerak ke hadapan, kami bukan sahaja menekankan pensijilan halal tetapi juga ekosistem halal itu secara keseluruhan.
UTUSAN: Ekosistem halal?
Maksudnya, PKS lain yang ingin mendapatkan sijil halal, rakan-rakan logistik, rakan-rakan pergudangan atau pengedar. Jadi, apa yang penting bagi kami adalah bukan sahaja integriti produk kami di kilang tapi integriti patut dikekalkan sehingga sampai kepada pengguna.
Jadi, kalau kita tengok rangkaian bekalan daripada kilang ke rakan logistik ‘transporter’ dan distributor warehouse pengedar, apa yg kami buat adalah kami melakukan bukan sahaja audit tetapi juga latihan kepada pekerja-pekerja yang terlibat terus dengan penjagaan produk halal.
Selepas mendapat pensijilan.. antara isu sekarang adalah proses untuk mendapatkan pensijilan halal, jadi bagaimana pengalaman F&N, boleh kongsikan untuk mendorong pemain lain ikuti, contoh bagaimana standard, kecekapan, kualiti dan lain-lain.
Untuk pengetahuan tuan, kami sebenarnya disenaraikan sebagai ‘senarai putih’ JAIS dan Jakim bagi kilang-kilang kami di Selangor.
Senarai putih ini maksudnya ia mempercepatkan proses pensijilan halal, baik bagi produk yang baharu ataupun produk yang sudah sedia ada sijil dan diperbaharui.
Pengiktirafan ini, contohnya JAIS, hanya satu peratus daripada pengilang-pengilang yang didaftarkan di bawah JAIS mendapatkan senarai putih ini. Kami diantaranya. Dan bagi mendapatkan pengiktirafan senarai putih ini kami kena buktikan kepada pihak berkuasa halal kekebalan sistem halal kami dan aktiviti kami. Dengan JAIS dan Jakim kami dapat membuktikan kepada mereka bahawa kami ingin mengadakan satu halal culture (budaya halal) dengan aktiviti yang kami adakan.
Kelebihan senarai putih ini dari segi cepatnya dapat sijil halal. Biasanya nak dapat sijil halal kita mohon produk baharu dan sebagainya, kita perlukan audit daripada pihak berkuasa iaitu Jakim dan JAIS untuk dapat kilang buat audit. Tapi bagi kami yang ada dalam senarai putih (white list), audit itu tidak diperlukan kerana mereka sudah yakin dengan kebolehan kami mengekalkan sistem halal yang kukuh. Maksudnya, masanya lebih pendek. Dan, walaupun kami tidak diaudit semasa kami memohon halal, tetapi kami sentiasa dipantau diawasi. Mereka boleh datang buat ‘spotcheck.’
Jadi dengan cara itu, ia dapat mempercepatkan.
Pengalaman kami adalah diiktiraf dalam senarai putih ini, tak perlu diaudit maka lebih cepatlah.
Nasihat kami adalah bagi pengusaha yang nak dapat senarai putih, maka kena jaga track record, maksudnya bila diaudit nanti pastikan NCR dapatkan diselesaikan dalam masa ditetapkan, membina track record yang baik.
UTUSAN: Untuk mendapatkan kelulusan yang pertama, berapa lama masa diambil?
Pada mula-mulanya, antara tiga hingga enam bulan. Itu masa awal-awal dibuat dahulu, sekarang dalam masa sebulan boleh dapat pensijilan halal.
Sekarang JAIS pula kata bukan sahaja sebulan, dalam masa dua minggu boleh dapat pensijilan halal. Kami sedang berusaha bersama, itulah kolaborasi kami bersama pihak penguasa bagaimana nak dapatkan sijil halal dalam jangka masa lebih singkat.
UTUSAN: Ada syarikat lain yang bertanya F&N, pengalaman nak dapatkan sijil halal?
Semestinya, bagi kami, senang cerita tak kedekut ilmu kerana F&N juga adalah syarikat dalam FMM, kami menggunakan platform itu untuk berkongsi pengalaman. Pada kami, jika setiap syarikat dapat mengawal selia dengan baik maksudnya ia akan menaik taraf ekosistem halal di Malaysia. Jadi, semua orang akan dapat kebaikan, bukan kita sahaja. Jadi kami berkongsi ilmu dengan pemain dan pengusaha lain. Itulah sebabnya kami berkolaborasi dengan HDC untuk membimbing pengusaha-pengusaha PKS. Bagi kami, kebaikan ekosistem akan dapat dinikmati bersama.
UTUSAN: Dengan adanya logo sijil halal, produk-produk F&N boleh memasuki mana-mana negara yang menekankan aspek halal?
Betul, saya bagi contoh kami ada pengalaman ingin eksport ke luar negara iaitu Arab Saudi dan apabila kami tidak ada kapasiti kami minta bantuan kilang kami di Thailand dan Arab Saudi kata jika kilang kami di Thailand tidak ada sijil halal daripada Jakim, mereka sanggup menunggu produk dari Malaysia. Atas kesedaran itu, sijil halal kami merentasi sempada bukan sahaja di Malaysia.
UTUSAN: Sijil halal negara mana yang lebih mendapat pengiktirafan?
Bagi kami, polisi kami adalah, contoh Thailand ada logo halal sendiri tetapi produk jika ingin dieksport ke Malaysia misalnya, kami mengutamakan sijil halal Jakim. Oleh itu, saya dan pasukan saya memang pergi ke kilang kami di Thailand untuk mendidik membimbing mereka bagi mendapatkan pensijilan halal internasional Jakim. Kami bekerjasama dengan mereka mungkin buat audit, latihan. Jadi, mereka ada pensijilan halal Thailand dan juga logo halal Jakim.
Antara sijil-sijil halal tersebut yang mana lebih diperakukan, diterima di peringkat antarabangsa?
Sukar untuk saya mengatakannya, tapi bagi pendapat saya nak mendapatkan sijil halal Jakim lebih sukar, kerana Jakim mempunyai banyak pengalaman, bertahun-tahun, jadi mereka menghadapi banyak situasi memerlukan keputusan yang tepat. Dan daripada pengalaman itu mereka makin mengetatkan apa yang diperlukan, kerana sijil halal ini kita tahu ia boleh dipalsukan. Atas situasi itulah maka Jakim mengadakan keperluan- keperluan yang agak ketat bagi mendapatkan sijil halal.
UTUSAN: Ramai mungkin tidak memahami antara halal dan toyyiban, boleh terangkan?
Maksudnya, apa yang cuba kami terapkan kepada pelanggan kami adalah, kelebihan sijil halal Malaysia adalah halalan toyyiban, bukan sahaja bebas daripada benda-benda haram tetapi ia juga diproses dengan kualiti dan amalan keselamatan yang ketat, tiada pencemaran dan selamat untuk dimakan, mengikuti tahap piawaian yang konsisten.
UTUSAN: Berapa banyak produk F&N yang ada sijil halal Jakim?
Semua produk kami di kilang Malaysia, ada sijil halal.
UTUSAN: Dari peringkat sumber bahan mentah sampai ke pengeluaran, ada standard pematuhan?
Pengawalan sistem halal kami bukan di kilang sahaja, ia meliputi seluruh rangkaian barang daripada bahan mentah, termasuk bahan pembungkusan, pemprosesan, logistik dan pergudangan. Di setiap rangkaian ini kami melakukan audit dan latihan kepada rakan-rakan strategik kami untuk mematuhi standard halal yang ditetapkan.
UTUSAN: Jadi, ada pasukan halal dalaman sendiri yang mengawal?
Sebenarnya, di Malaysia untuk mendapatkan sijil halal kita perlu ada pegawai ‘Eksekutif Halal’. Dia perlu mengikuti kursus yang diiktiraf oleh Jakim selama dua minggu dan kena ada peperiksaan untuk layak menjadi Eksekutif Halal. Dan kami di F&N di 13 kilang mempunyai 17 pegawai Eksekutif Halal yang berkelayakkan. Dan kami masih mencari bakat untuk diserapkan kerana objektif kami mendapatkan sekurang-kurangnya dua pegawai Eksekutif yang bertauliah dalam sebuah kilang.
UTUSAN: Bagaimana tuan melihat revolusi industri makanan yang telah berubah dengan pensijilan halal? Dan apa cabarannya?
Bagi saya, cabarannya amat banyak. Contoh, bahan mentah sekarang ada GMO – DNA asing dimasukkan dalam DNA asal.
Kita kena perhatikan sama ada sumber-sumber yang haram. Contohnya, dari khinzir. Jadi, kita punya kawalan perlu dikembangkan kepada penetapan DNA, teknologi untuk mengesan sumber DNA.

UTUSAN: Cabaran semakin tinggi?
Itu hanya satu contoh. Begitu juga pemprosesan. Contoh, ada mesin yang sensitif digunakan bersama bahan yang haram, bagaimana kita nak sertukan. Itulah cabarannya.
UTUSAN: Peranan F&N untuk membantu ekosistem halal supaya lengkap?
Peranan kami selain mengekalkan satu ekosistem halal yang tinggi, kami juga bekerjasama dengan rakan-rakan kami dalam industri, pembekal, pesaing, rakan strategik yang bekal produk kepada kami, untuk mendidik dan membimbing mereka mencapai satu standard halal yang ditetapkan oleh Jakim dan F&N.
UTUSAN: Lanskap halal dan daya saing industri yang dikatakan bernilai berbilion ringgit, pandangan tuan?
Saya rasa itulah antara sebabnya kita melangkaui piawaian halal sebab ini dapat meyakinkan para pengguna tentang komitmen kami dan untuk mengekalkan integriti halal. Bagi saya, daya saing adalah setiap kali ada pembekal dan pemprosesan baharu kita kena pastikan bahawa ia mematuhi keperluan halal.
UTUSAN: Sumber bahan mentah diperolehi dari dalam atau luar?
Kami memperoleh sumber bahan mentah dari dalam dan luar negara.
Dalam pemilihan bahan mentah, kami memastikan bahawa bahan mentah itu mwmpunyai sijil halal daripada perbadanan halal yang diiktiraf oleh Jakim. Ini kerana, Jakim sentiasa melakukan pemantauan kepada badan pensijilan lain untuk memastikan mereka juga mencapai standard halal yang ditetapkan.
Selain itu, kami juga membuat pemantauan audit , kerana ada kalanya bahan itu dihantar ke kilang kami melalui transporter, kami memastikan tiada pencemaran, pencampuran.
UTUSAN: Berdasarkan pengalaman F&N, apa lagi ruang-ruang yang boleh ditambah baik supaya matlamat menjadikan Malaysia hab halal global boleh direalisasikan?
Jakim sekarang ada menawarkan pelbagai skim dari segi mendapatkan standard halal. Pada saya itu langkah yang baik.
Kita tidak boleh mengharapkan orang yang buat bisnes di belakang rumah, tidak ada modal, melabur dalam bidang perniagaan yang canggih.
Jadi untuk memastikan mereka masih dapat kekalkan standard integriti halal, dengan SOP yang ditentukan pihak berkuasa.
Dan mungkin kerajaan juga boleh mainkan peranan di mana ada inisiatif kepada pengusaha makanan dan servis halal agar dapat mengembangkan lagi, bagi membolehkan lebih ramai ambil inisiatif dapatkan sijil halal.
UTUSAN: Antara inisiatif yang boleh ditawarkan?
Contoh pengurangan cukai sebab nak mendapatkan sijil halal itu perlukan modal, bukan sijil itu sendiri tetapi proses dan peralatan bagi mendapatkannya.
Selain itu, macam di F&N tugas kami memastikan halal sepanjang proses, tapi selepas keluar kilang? Kena juga Jakim pastikan ia tidak bercampur di gudang, itu akan lebih meyakinkan pengguna tentang integriti halal produk.
Mungkin tak perlu diwajibkan tetapi syarikat logistik, gudang digalakkan mempunyai sijil halal. Ia sekaligus meningkatkan integriti produk halal.
UTUSAN: Apa lagi pelan perancangan F&N bagi merancakkan lagi induatri halal negara?
Kami akan terus bersama rakan-rakan strategik, kerajaan dan badan-badan seperti HDC bagi berkongsi ilmu, pengalaman dan kami jugabakannterus menyokong program-program bersifat komuniti.
Dalam jangka panjang, kami juga akan fokus kepada pembekal tempatan kerana kami mahu membina rangkaian seterusnya mengembangkan ekosistem halal di Malaysia.
Satu lagi, kami juga sedang bekerjama dengan pihak kerajaan untyk mengeluarkan standard sertu yang diiktiraf. Ia turut melibatkan pelbagai pihak termasuk universiti dan syarikat teknologi.
UTUSAN: Bagaimana bidang pembangunan dan penyelidikan halal?
Kami juga ada kolborasi bersama universiti melakukan penyelidikan bahan mentah, pembungkusan dan sistem atau mesin. Contoh, bahan mentah bagaimana nak mengeluarkan output daripada bahan mentah sama. Kami juga ada buat kolaborasi bersama makmal babitkan kit ujian bagi mengesan dengan cepat produk halal.
Sekarang mengambil masa yang panjang, contoh, jika bahan mentah baru sampai dan nak sahkan statusnya ada pencemaran atau tidak, jika dihantar ke makmal ia makan masa beberapa hari, sedangkan bahan sudah ampai dinkilang.
Jadi, kena cari satu kaedah untuk mempercepat ujian.
Kami juga ada kerjasama dengan Malaysian Halal Analysist Centre yang dikendalikan oleh Jakim, tentang cara-cara analisis baharu, kaedah-kaedah baharu yang boleh mempercepatkan keputusan.
UTUSAN: Ruang-ruang yang kita boleh tambah baik untuk bantu industri?
Apa yang dibuat oleh F&N dalam mengekalkan integriti produk halal, jika dapat dicontohi oleh pemain lain, transporter dan lain-lain, ia akan dapat mengurangkan kos.
UTUSAN: F&N bersedia membantu pemain-pemain lain?
Memang kami sedang bersama PKS dan syarikat lain, berkongsi pengalaman dan ilmu.
Apa yang kami buat melangkaui industri. Contoh, setiap pekerja, kami berikan latihan kesedaran halal dan GMP. Kita ingin membina satu budaya halal, keselamatan dan kualiti. Bagi kami, seiring apa yang dipanggil halalan toyyiban, standard halalan toyyiban. Bukan sahaja masa mereka (pekerja) masuk, kita ada latihan berkala kerana nak membina budaya, mereka perlu sentiasa diingatkan adakah apa-apa perlakuan memberi kesan kepada kualiti, standard produk dikeluarkan.
Semua pekerja disetiap peringkat diberikan latihan dan pastikan mereka faham tentang halal.
Latihan yang dijalankan merentasi sempadan, melibatkan juga kilang-kilang kami di luar Malaysia. Walaupun mereka ada standard halal sendiri tapi kami mahu mereka memahami standard halal kami sebab ada jurang yang perlu mereka patuhi terutama babitkan produk yang akan dieksport ke Malaysia.
UTUSAN: Sjil halal bantu pengembangan eksport?
Ya, pelanggan kami lebih yakin atas produk yang dikeluarkan.
UTUSAN: Apa nasihat kepada yang baharu dan mahu menceburi industri halal?
Untuk orang baharu nak mulakan perniagaan, jangan segan untuk bertemu pihak berkuasa. Pihak berkuasa- Jakim dan jabatan agama Islam negeri banyak membantu, adakalanya mereka menghubungkan industri kecil dengan kami. Kalau tak tahu mcm mana nak buat, bermula dengan pihak berkuasa mereka sedia membantu. – UTUSAN










