Pasport halal untuk tembusi pasaran luar

Pasport halal untuk tembusi pasaran luar

AHMAD Zahid Hamidi melihat replika Projek Pembangunan Industri - PERDA Halal Park (Fasa 2) pada majlis pecah tanah projek itu di Kubang Menerong, Tasek Gelugor, Pulau Pinang.- UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TASEK GELUGOR: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan memastikan setiap produk diusahakan usahawan bumiputera khususnya di pusat industri halal, memiliki ‘pasport’ halal bagi menembusi pasaran luar negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pemasaran produk halal tempatan keluar negara boleh dibuat melalui platform perdagangan digital serta Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS).

Beliau berkata, aspirasi utama KKDW adalah untuk mencipta lebih banyak `Juara Halal” atau ‘Halal Champions’ dalam kalangan usahawan bumiputera.

“Kita juga mahu melahirkan usahawan yang bukan sahaja berdaya tahan dalam pasaran tempatan, tetapi ‘berani tarung’ di pasaran antarabangsa.

“Justeru, melalui pembangunan wilayah yang seimbang, kita berharap agar pusat industri seperti ini dapat menjana peluang ekonomi kepada penduduk setempat, mengurangkan penghijrahan belia ke kota, dan meningkatkan taraf hidup komuniti luar bandar secara keseluruhannya,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berucap di Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Industri – PERDA Halal Park (Fasa 2) di Mukim 12, Kubang Menerong di sini, hari ini.

Hadir sama,Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang; Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang merangkap Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, KKDW sedang menggerakkan usaha untuk mengindustrikan perusahaan luar bandar melalui penyediaan infrastruktur yang kondusif termasuk dari aspek pemerkasaan modal insan melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang disesuaikan dengan keperluan industri halal moden.

“Kita mahu anak-anak luar bandar tidak hanya menjadi pekerja am, tetapi, menjadi pakar teknologi pemprosesan makanan, juruaudit halal, dan juruteknik mesin industri agar mereka menjadi tenaga kerja mahir dan usahawan masa hadapan.

“Jadi, di sinilah letaknya kepentingan strategik Pembangunan Industri PERDA Halal Park. Fasiliti ini dirangka untuk menyediakan ekosistem lengkap yang terdiri daripada kemudahan premis yang mematuhi piawaian dan sokongan logistik halal,” katanya.

Pembangunan PERDA Halal Park (Fasa 2) membabitkan kos sebanyak RM33 juta, merangkumi pembinaan 22 unit teres satu tingkat, pejabat pentadbiran, dewan serbaguna, kompleks makanan dan sebagainya.

Projek bermula pada Julai ini dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua tahun. Ia turut menerima Sijil Pengiktirafan Halal Malaysia (Halmas) daripada Halal Development Corporation (HDC) sejak 2011. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN