TASEK GELUGOR: Konflik Asia Barat menjejaskan industri halal dan rantaian bekalan makanan di peringkat global, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, selain menjejaskan sektor tenaga, krisis turut mencetuskan kesan domino kepada industri halal di semua peringkat termasuk peningkatan kos logistik, kelewatan penghantaran dan ketidaktentuan akses pasaran.
“Dalam hal ini, produk halal, khususnya makanan segar dan barangan bersuhu terkawal sangat bergantung kepada kecekapan rantaian bekalan global yang stabil,” katanya berucap di Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Industri – PERDA Halal Park (Fasa 2) di Mukim 12, Kubang Menerong di sini, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kenaikan harga tenaga dan bahan mentah turut memberi tekanan terhadap kos pengeluaran industri termasuk pengeluaran baja.
Katanya, dalam beberapa sektor, kos baja sahaja boleh menyumbang sehingga 60 peratus daripada kos pengeluaran, sekali gus memberi kesan langsung kepada keseluruhan rantaian nilai makanan halal negara.
“Bagaimanapun, di sebalik segala cabaran ini, terdapat satu realiti yang perlu kita lihat dengan lebih strategik. Ketidaktentuan global ini juga sebenarnya telah membuka ruang untuk Malaysia memperkukuh kedudukannya sebagai hab halal yang stabil, dipercayai dan berdaya tahan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menjelaskan, keupayaan negara mempelbagaikan pasaran eksport, mengukuhkan rantaian bekalan domestik serta meningkatkan kecekapan logistik memastikan industri halal terus berkembang walaupun terpaksa berdepan suasana global yang mencabar.
Justeru, beliau berkata, dalam konteks industri halal, Malaysia mesti berada di barisan hadapan iaitu sebagai peneraju pensijilan halal, kuasa besar pengeluaran, inovasi dan perdagangan halal dunia.
“Hari ini, negara kita telah diiktiraf antara peneraju industri halal global dengan sistem pensijilan yang diyakini di hampir 50 negara serta kedudukan teratas dalam Indeks Ekonomi Islam Global selama bertahun-tahun,” katanya. – UTUSAN










