Sokongan TERAJU perkukuh kedudukanAl-Meswak Mu’min dalam industri halal FMCG

Sokongan TERAJU perkukuh kedudukan Al-Meswak Mu’min dalam industri halal FMCG

TUN Ramli Ngah Talib (tengah) diiringi oleh Zaihal Hazri (tiga dari kanan) melakukan gimik sempena Majlis Perasmian Kilang Al-Meswak Mu’min Sdn. Bhd. yang diadakan serentak dengan Pelancaran Jubli Perak 25 Tahun syarikat itu di Perda Food Park, Tasek Gelugor, Pulau Pinang, kelmarin. – UTUSAN/ DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TASEK GELUGOR: Sokongan pembiayaan strategik daripada Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) membantu sebuah syarikat pengeluar produk halal tempatan, Al-Meswak Mu’min Sdn. Bhd., untuk terus memperkukuh kedudukannya dalam industri halal khususnya melibatkan barangan pengguna bergerak pantas (FMCG) di negara ini.

Pembiayaan itu disalurkan melalui kerjasama strategik antara TERAJU dan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) menerusi instrumen saham keutamaan boleh tukar boleh tebus (RCPS) bagi membantu syarikat mempercepatkan pengembangan operasi syarikat, meningkatkan kapasiti pengeluaran serta memperkukuh daya saing dalam pasaran domestik dan antarabangsa.

Pelaburan ini seterusnya dimanfaatkan untuk pembangunan fasiliti baharu, pembelian mesin dan peralatan berteknologi tinggi serta penambahbaikan barisan pengeluaran bagi meningkatkan produktiviti dan kecekapan operasi sekali gus memenuhi permintaan pasaran halal yang semakin berkembang.

Langkah pengembangan ini bukan sahaja meningkatkan keupayaan pengeluaran syarikat, malah turut menyumbang kepada pengukuhan ekosistem industri halal negara melalui pembangunan rantaian bekalan tempatan serta peningkatan keupayaan industri bumiputera dalam sektor pembuatan bernilai tinggi.

ZAIHAL Hazri (kanan) memberi penerangan kepada Tun Ramli Ngah Talib (tiga dari kanan) mengenai proses penghasilan ubat gigi pada Majlis Perasmian Kilang Al-Meswak Mu’min Sdn. Bhd. yang diadakan serentak dengan Pelancaran Jubli Perak 25 Tahun syarikat itu di Perda Food Park, Tasek Gelugor, Pulau Pinang, kelmarin.

Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, Junady Nawawi berkata, dalam hal ini, kejayaan Al-Meswak Mu’min mencerminkan potensi besar syarikat bumiputera untuk berkembang sebagai pemain industri yang kompetitif apabila disokong dengan akses kepada pembiayaan strategik, teknologi serta ekosistem pembangunan yang tepat.

“TERAJU komited untuk membantu syarikat bumiputera berpotensi tinggi dalam memperluas kapasiti, meningkatkan keupayaan industri serta menembusi pasaran lebih besar agar lebih banyak syarikat tempatan mampu menjadi peneraju dalam sektor strategik negara,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Al-Meswak Mu’min merupakan contoh syarikat yang ingin dibangunkan oleh agensi itu iaitu sebagai sebuah perusahaan yang mempunyai asas kukuh, penawaran pasaran yang unik serta potensi untuk menjadi peneraju industri di peringkat nasional.

Dalam hal ini, katanya, pembiayaan strategik bukan sekadar suntikan modal, sebaliknya adalah usaha untuk membolehkan syarikat membina kapasiti, meningkatkan daya saing serta membuka peluang pertumbuhan baharu.

“Al-Meswak Mu’min berjaya membuktikan bagaimana ekosistem sokongan yang tepat dapat membantu syarikat bumiputera mengembangkan operasi mereka, mengukuhkan kedudukan pasaran dan mencipta nilai ekonomi jangka panjang.

“Apabila TERAJU terlibat, kami bukan sahaja menyokong syarikat yang sudah kukuh. Kami melihat syarikat yang mempunyai hasil pendapatan sedia ada dan tahap keuntungan tertentu, dan peranan kami adalah untuk membantu menambah baik serta meningkatkan prestasi mereka,” ujarnya.

Tambah beliau, selaras dengan aspirasi Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35), TERAJU akan terus memperhebat usaha memperkasa syarikat bumiputera berpotensi tinggi sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara dan pembangunan ekosistem yang mampan.

Terdahulu, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib hadir merasmikan pembukaan fasiliti baharu milik syarikat terbabit iaitu Kilang Al-Meswak Mu’min yang diadakan serentak bersama pelancaran sambutan Jubli Perak 25 Tahun Mu’min di Perda Food Park, Kubang Menerong di sini.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri I merangkap Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal Pulau Pinang (MPIHPP), Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid.

Al-Meswak Mu’min yang diasaskan pada 2001 sebelum ini dikenali sebagai syarikat pengeluar ubat gigi halal pertama negara yang memperoleh pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta pengiktirafan daripada Persatuan Doktor Pergigian Islam Malaysia (IDAM).

Ketika ini, Al-Meswak Mu’min juga telah dikenal pasti sebagai antara syarikat bumiputera berpotensi tinggi untuk dibangunkan dan dipersiapkan ke tahap seterusnya menerusi program Enhance dan XCELERATE di bawah seliaan TERAJU.

Melalui intervensi strategik ini, syarikat tersebut diperkukuh dari aspek kapasiti perniagaan, tadbir urus dan kesiapsiagaan pelaburan bagi meningkatkan daya saing, menarik pelaburan strategik serta membuka laluan ke arah pertumbuhan yang lebih berskala dan mampan.

Pendekatan pembangunan menyeluruh ini juga sejajar dengan aspirasi TERAJU iaitu untuk melahirkan lebih banyak syarikat Bumiputera yang berpotensi menarik pelaburan termasuk pelaburan strategik selain berpotensi meneroka pasaran modal sebagai sebahagian daripada trajektori pertumbuhan jangka panjang syarikat.

Justeru, sokongan pembiayaan yang diterima Al-Meswak Mu’min itu dianggap sebagai antara pemangkin penting dalam mempercepatkan agenda pengembangan syarikat ke tahap seterusnya.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Al-Meswak Mu’min, Datuk Zaihal Hazri pula memberitahu, pertumbuhan syarikat dibina atas keyakinan bahawa prinsip halal tidak seharusnya terhad kepada makanan sahaja, malah perlu diperluaskan kepada produk yang digunakan dalam kehidupan seharian.

“Perjalanan kami bermula dengan satu persoalan mudah iaitu jika pengguna mengambil berat tentang status halal makanan, mengapa pertimbangan yang sama tidak diberikan kepada produk yang digunakan setiap hari oleh keluarga?

“Kepercayaan itulah seterusnya yang menjadi asas perniagaan kami dan terus memacu inovasi serta pengembangan syarikat hingga ke hari ini,” katanya.

Menurut beliau, kilang baharu itu bukan sekadar sebuah kemudahan pembuatan, sebaliknya melambangkan tempoh 25 tahun ketekunan, inovasi dan keyakinan bahawa jenama bumiputera tempatan mampu bersaing serta berjaya dalam pasaran yang sangat kompetitif.

“Kira-kira 25 tahun yang lalu, kami bermula dengan satu produk dan hari ini, kami mempunyai lebih daripada 100 produk. Insya-Allah, kami berhasrat untuk menjadikan jenama halal Malaysia lebih dihormati dan dikenali di peringkat global,” ujar beliau.

Ringkasnya, kisah kejayaan Al-Meswak Mu’min ini secara tidak langsung membuktikan keberkesanan kerjasama strategik antara kerajaan, agensi pelaksana serta sektor swasta dalam mempercepatkan pembangunan syarikat bumiputera agar lebih berdaya tahan, berinovasi dan mampu berkembang secara mampan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN