Unit Teraju dipindah ke bawah JPM - PM

Unit Teraju dipindah ke bawah JPM – PM

ANWAR Ibrahim sewaktu mempengerusikan mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera Bil.2 di Putrajaya. sumber- FB Anwar Ibrahim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) yang sebelum ini dipantau oleh Kementerian Ekonomi dipindahkan menjadi agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia bertujuan untuk memantapkan pemantauan program pembangunan bumiputera khususnya inisiatif di bawah Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35).

Beliau berkata, keputusan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) yang dipengerusikannya hari ini.

“Langkah itu merupakan kesinambungan kepada usaha pemerkasaan institusi bumiputera yang telah dimulakan melalui pemusatan Pelaburan Hartanah Bumiputera (PHB) dan Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) di bawah Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB).

“Sehingga kini, pencapaian keseluruhan PuTERA35 telah mencecah 64.6 peratus dengan 160 daripada 493 program yang dirancang berjaya dilaksanakan lantas perkembangan ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Madani dalam memastikan agenda pembangunan bumiputera diterjemahkan kepada hasil yang nyata dan memberi manfaat langsung kepada rakyat,” katanya dalam hantaran di Facebook miliknya hari ini.

Perdana Menteri berkata, dalam mesyuarat sama, pihaknya turut dimaklumkan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) telah membelanjakan sebanyak RM49.2 bilion pada tahun lalu, khususnya melalui perolehan daripada vendor dan pembekal bumiputera.

“Pada masa yang sama, komitmen pelaburan GLIC dalam perniagaan bumiputera ditingkatkan kepada RM2 bilion bagi tahun 2026 berbanding RM1.3 bilion pada tahun sebelumnya, termasuk menerusi inisiatif Larian Ganti Bumiputera yang bertujuan memperluas akses pembiayaan dan pelaburan kepada usahawan Bumiputera di setiap peringkat pertumbuhan.

“Khazanah Nasional Berhad pula akan melancarkan Dana Ciptawan dengan peruntukan RM200 juta bagi menyokong syarikat Bumiputera peringkat pertengahan (mid-tier companies), sekali gus memperkukuh keupayaan mereka untuk berkembang, bersaing dan menembusi pasaran yang lebih luas,” katanya.

Selan itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, mesyuarat turut meneliti resolusi Kongres Pendidikan Bumiputera 2026 yang berlangsung pada 1 Mei lalu.

“Penelitian lanjut akan dibuat terhadap beberapa cadangan strategik, termasuk penubuhan Majlis Tahfiz Negara, agar usaha memperkasa pendidikan dan pembangunan modal insan bumiputera dapat dilaksanakan secara lebih menyeluruh dan berkesan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN